Seorang lelaki warga emas maut selepas dikatakan mengalami kesesakan nafas semasa menjalani aktiviti mendaki bersama dengan keluarganya, kira-kira tiga kilometer dari kaki Gunung Pulai, Kulai, pagi semalam.
Pegawai Bomba Kanan II Asmiza Zaini berkata tujuh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kulai bergegas ke lokasi selepas Pusat Gerakan Operasi negeri menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.11 pagi, dan sebaik tiba, Chua Kok Wah, 62, didapati telah dibawa turun ke pondok pengawal di kaki gunung oleh orang awam.
Dalam kenyataan di Johor Bahru malam tadi beliau memberitahu warga emas itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Sementara itu, dalam insiden berasingan seorang lelaki warga Myanmar yang terjatuh ke dalam sungai ketika menjala ikan petang semalam bersama rakannya di Sungai Melayu berhampiran Kilometer 6.6 Jalan Ismail Sultan, Iskandar Puteri, ditemukan lemas pada pukul 7 malam semalam.
Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Khairi Zainuddin dalam kenyataan malam ini berkata mayat Anayatullah Habi Rahman, 27, ditemukan 15 meter dari lokasi dia dipercayai jatuh.
“Bomba melancarkan operasi mencari dan menyelamat selepas dimaklumkan mengenai kejadian pada 3 petang tadi, sebelum menemukan mayat lelaki itu tersangkut pada ranting-ranting kayu hanyut," katanya.
- Bernama