Rakyat Malaysia pelbagai kaum dan warga asing teruja menyaksikan persembahan memukau Hari Kebangsaan 2022 yang berlangsung di Dataran Merdeka hari ini.
Mengenakan pelbagai gaya pakaian yang diilhamkan berdasarkan warna Jalur Gemilang, semangat patriotik orang ramai tidak pernah luntur terutama selepas tidak dapat meraikan sambutan tahunan secara fizikal Hari Kebangsaan berikutan pandemik COVID-19.
Siti Arifah Zulkarnain, 36, yang memakai pakaian bertemakan Jalur Gemilang bersama suaminya, Jamil Hassan, 37, ketika ditemui di upacara itu, melahirkan perasaan gembira berpeluang menyaksikan semula perarakan di Dataran Merdeka.
“Pada mulanya kami khuatir untuk datang ke sini, tetapi berdasarkan kemampuan kerajaan menangani COVID-19, kami yakin untuk meraikan upacara ini.
“Sudah tentu, kami tidak menyesali keputusan itu kerana kemeriahan sambutan pada tahun ini adalah yang terbaik,” kata ibu kepada dua anak itu kepada Bernama.
Warga Nigeria yang memiliki taraf penduduk tetap, Ndy Usoh, 38, berkata beliau sering membawa anak-anaknya menyaksikan perarakan itu yang berpendapat bahawa ia adalah model teladan terbaik semangat patriotik negara.
“Saya telah menetap di sini selama 18 tahun bersama isteri, perarakan ini memberi kami peluang menyaksikan perpaduan dan keharmonian rakyat berbilang kaum di Malaysia.
“Ini adalah nilai dan sifat yang ingin saya semai dalam diri anak-anak saya apabila mereka membesar,” kata bapa kepada tiga anak berusia enam, lima dan tiga tahun itu.
Sementara itu, Lim Bee Yoke, 56, yang menaiki pengangkutan awam ke Dataran Merdeka berharap semangat patriotisme dan tradisi pelbagai budaya negara terus meluap dalam kalangan rakyat Malaysia.
Beliau berkata identiti sebagai rakyat Malaysia akan terpahat selama-lamanya sebagai peringatan tentang apa yang boleh dicapai oleh individu Keluarga Malaysia.
- Bernama