Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kempen Ayuh Malaysia diharap lonjak peratus keluar mengundi

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berpuas hati dengan kehadiran orang ramai yang membanjiri ceramah dan sesi penglibatan awam sebagai sebahagian daripada kempen ‘Ayuh Malaysia’.

PKR meletakkan harapan kempen itu akan meningkatkan peratusan keluar mengundi kepada hampir 80 peratus pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Rafizi berkata kempen itu telah mendapat momentum beberapa bulan selepas ia dimulakan dengan kira-kira 800 hadirin untuk acara trak kempen di seluruh negara dan 800 lagi yang menempah kerusi mereka untuk menghadiri sidang awam di auditorium berkapasiti 500 tempat duduk semalam.

“Ya, (saya berpuas hati). Kami menerima tempahan untuk majlis yang diumumkan melalui Facebook itu daripada kira-kira 800 orang walaupun kapasiti dewan adalah 500 orang.

"Begitu juga, kami mendapat 700 hingga 800 orang untuk menghadiri ceramah trak kempen kami, yang saya fikir Pakatan Harapan (PH) bergelut untuk mencapainya sejak tiga hingga empat tahun lalu," katanya kepada media pada 'Bicara Merdeka: Reimagining Malaysia's Future by Ayuh Malaysia' di Pusat Seni Persembahan Kuala Lumpur di Sentul semalam.

Rafizi berharap ia dapat dicerminkan oleh peratusan keluar mengundi yang tinggi pada PRU akan datang, yang dijangka diadakan tidak lama lagi susulan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakon mendapat tekanan daripada partinya sendiri untuk membubarkan parlimen.

"Sebaik-baiknya, kita mahu peratusan keluar mengundi adalah 80 peratus. Kita (PKR) mencatatkan peratusan keluar mengundi 56 hingga 57 peratus dalam dua pilihan raya negeri lalu, tetapi jika kita motivasikan pengundi, ia mungkin hampir 80 peratus," katanya. katanya.

Acara malam tadi diadakan berikutan beberapa siri sesi penglibatan dengan sukarelawan yang memberi tumpuan kepada dasar penyelesaian masalah.

"Sukarelawan bukan ahli parti. Kami mempunyai kira-kira 10,000 sukarelawan sejak kempen dilancarkan pada Mac dan kami berharap dapat meningkatkan pengambilan kepada 30,000 menjelang akhir tahun," kata Rafizi.

Peratusan keluar mengundi

Pilihan raya umum lepas mencatatkan 82.32 peratus keluar mengundi yang menyaksikan PH dan Warisan memperoleh 121 kerusi parlimen.

Peratusan keluar mengundi menjadi kebimbangan PKR sejak akhir-akhir ini berikutan prestasinya padaPRN Johor (54.92 peratus) dan Melaka (65.85 peratus).

"Kami berharap dapat menarik minat pengundi muda melalui penglibatan ini. Semoga mereka faham politik tidak semestinya mengenai siapa menjadi perdana menteri. Ia mengenai diri mereka dan idea mereka sendiri.

"Saya tidak tahu sama ada kita boleh menarik sokongan pengundi kepada PH atau tidak, tetapi sekurang-kurangnya kita boleh melonjakkan peratusan keluar mengundi dan juga menggalakkan yang lebih muda untuk berminat dalam politik," kata Rafizi.

Ketika ditanya sama ada hasil penglibatan awam akan dimasukkan sebagai sebahagian daripada manifesto PH, Rafizi berkata ia merupakan dua usaha berasingan yang diambil oleh parti.

Rafizi berkata sesi penglibatan awam, yang memfokuskan kepada lima isu teras, akan diteruskan walaupun selepas PRU umum akan datang.

Ini termasuk pendidikan, pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional, tenaga boleh diperbaharui, perumahan dan jaminan makanan.

Kempen ‘Ayuh Malaysia’ dilancarkan untuk menangani kelesuan pengundi, dengan peratusan keluar mengundi yang lemah menjejaskan peluang PKR dan PH pada pilihan raya akan datang.

Ia juga bertujuan untuk menarik pengundi kali pertama, golongan atas pagar dan mereka yang telah beralih sokongan daripada gabungan itu sejak 2018.

Selain sesi penglibatan berasaskan dasar, ‘Ayuh Malaysia’ turut melancarkan trak kempen bulan lepas, memfokuskan kempen di 50 kerusi marginal PKR di seluruh negara.

Trak itu akan digunakan untuk mengadakan perhimpunan politik dan perbincangan di kawasan pilihan raya di seluruh negara, untuk menyemarakkan semula minat dalam politik menjelang pilihan raya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS