mk-logo
Berita
Setiausaha Politik MB Kedah ajak rakyat benam Umno-BN, PH
Diterbitkan:  Aug 30, 2022 7:48 PM
Dikemaskini: 12:19 PM

Seorang pegawai menteri besar Kedah mengajak orang ramai "membenam" Umno dan BN dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang gara-gara isu yang ditimbulkan parti itu menjelang lawatan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Turut disekalikan oleh Afnan Hakimi Taib Azamudden itu ialah Pakatan Harapan (PH).

Dalam kenyataannya hari ini, setiausaha politik menteri besar Kedah itu menceritakan bagaimana Umno Baling didakwanya memberi arahan dan tekanan agar program rasmi membabitkan Ismail Sabri dibuat di premis parti terbabit.

Katanya arahan itu dikeluarkan selepas kerajaan negeri - yang diwakili pegawai daerah (DO) Baling - bersetuju membuat sambutan untuk Ismail Sabri di Dewan Kenangan Tun Abdul Razak pada 1 Sept ini.

Kata Afnan Hamimi, dewan tersebut merupakan premis kerajaan.

"Setelah perancangan dibuat dan gerak kerja disusun, tiba-tiba, ada ‘arahan dan tekanan’ supaya program rasmi ini dibuat di premis BN.

"Stor Logistik Pusat Khidmat Ahli Parlimen Baling yang dipaparkan di dalam kad jemputan itu adalah premis parti, premis BN. Bukannya premis kerajaan.

"Orang nombor satu negara (perdana menteri) mai, hangpa bawak pi ‘stor’ sahaja. Amat biadab dan memalukan," katanya.

Untuk rekod, ahli parlimen Baling sekarang ialah Abdul Azeez Abdul Rahim.

Menurut Afnan Hamimi, dalam lawatan rasmi Ismail Sabri itu, naib presiden Umno berkenaan dijadual melawat beberapa lokasi termasuk kawasan bekas tragedi banjir di Kampung Iboi, Baling.

Di situ, katanya, Ismail Sabri akan bertemu dengan mangsa banjir dan akan ada majlis penyerahan bantuan kepada mereka.

"Walaupun Tuan DO Baling menegur dan berunding supaya program ini dilaksanakan di premis kerajaan, namun BN tetap berkeras mahu program ini dilaksanakan di premis miliknya, premis BN. Teguran dan rundingan Tuan DO Baling tidak diendahkan mereka.

"Tuan DO Baling adalah wakil rasmi Kerajaan Negeri Kedah. Suaranya di dalam program itu adalah suara rasmi kerajaan negeri.

"Apabila suara Tuan DO Baling tidak diendahkan, maknanya Umno-BN tak hormat pegawai kerajaan Kedah. Umno-BN tak hormat kerajaan negeri selaku tuan rumah," katanya lagi.

Benam dalam tanah

Dia juga menegaskan, mangsa banjir yang dijemput itu terdiri daripada pelbagai golongan termasuk bukan penyokong mana-mana parti politik tetapi dipaksa hadir ke premis Umno-BN yang dianggapnya membawa selera politik yang rakus serta kuno.

"Maknanya, Umno-BN tak hormat mangsa banjir," katanya.

Afnan Hamimi yang juga timbalan ketua Pemuda PAS Pusat mendakwa, dalam kad jemputan program tersebut yang diedarkan juga tertera logo Umno.

Tambahnya, program itu bukan majlis politik namun tindakan diambil Umno menunjukkan mereka tidak menghormati tetamu.

Afnan Hamimi turut mendakwa guru besar, pengetua sekolah, guru dan pelajar di daerah Baling dikerah untuk hadir ke majlis menyambut perdana menteri berkenaan.

Ia juga, tambahnya, menunjukkan Umno-BN tidak menghormati guru dan pelajar.

"Semua sikap di atas adalah perangai lama Umno-BN ketika berkuasa sebelum ini.

"Nampaknya sekarang mereka sudah kembali kepada perangai lama, perangai politiking melampau yang amat memualkan dan dibenci oleh pegawai-pegawai kerajaan dan rakyat," katanya.

Dakwa Afnan Hamimi, sebelum ini PH juga melakukan tidak menghormati pegawai kerajaan demi memenuhi agenda politik kepartian.

"PRU kali ni, pengundi tak perlu fikir panjang. Tak perlu hormat orang yang tak hormat kita.

"Benamkan sahaja Umno-BN dan PH dalam tanah. Selesai," katanya dalam kenyataan disiarkan harakahdaily.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS