Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PRU15: Kalau nak kawan, kawan betul-betul, kata PAS
Diterbitkan:  Aug 30, 2022 3:31 PM
Dikemaskini: 7:37 AM

PAS tidak memberikan autonomi kepada PAS negeri untuk memutuskan kerjasama dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan datang, kata Timbalan Presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Dalam satu temubual dengan saluran YouTube FengRenGuan, Tuan Ibrahim berkata parti itu menggunakan pendekatan yang sama di kubu kuatnya di negeri Pantai Timur dan Pantai Barat.

“Hingga setakat ini kita tak ada autonomi. Bermakna bahawa polisi kita adalah sama, (di) Pantai Timur atau Pantai Barat, sama. Tak ada autonomi untuk setiap negeri, tetapi fleksibiliti untuk memilih rakan partner dalam politik, itu kita ambil kira kekuatan yang ada.

“Sebagai contoh, kalau kita nak menang di Selangor, kalau PAS dengan Umno tak berpakat saya rasa akan kekal pada PH.

“Jadi Umno pun tahu situasi itu dan Umno nak pakat dengan PAS di Selangor,” kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.

Bagaimanapun, Tuan Ibrahim berkata tawaran Umno untuk bekerjasama dengan PAS mesti diperluas ke seluruh negara, dan bukan sahaja di negeri-negeri terpilih.

Pada masa sama, dia berkata kerjasama itu juga perlu melibatkan Bersatu untuk menyatukan semua parti utama Melayu-Islam.

“Saya beritahu, kalau nak pakat, pakat satu negara. You tak boleh pakat tempat you suka, tempat you tak suka you lawan, mana boleh.

“Di Kelantan, Terengganu nak lawan PAS tapi di Selangor nak kawan, mana boleh. Kalau nak kawan, kawan betul-betul. Kalau nak lawan, lawan betul-betul,” katanya.

PAS-Umno di Selangor

Pada Mei lalu, Pengerusi BN Selangor Noh Omar berkata Umno dan PAS akan mengelak daripada bertanding di kerusi yang sama di negeri itu, dengan harapan untuk menumbangkan PH.

Menurut Ahli Parlimen Tanjong Karang itu, dengan strategi itu, Umno dan PAS mensasarkan untuk memenangi sekurang-kurangnya 30 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor, kata Ahli Parlimen Tanjong Karang itu.

Antara pemimpin PAS Selangor yang sebelum ini menyuarakan sokongan terhadap kerjasama dengan Umno termasuklah Pesuruhjaya PAS negeri, Ahmad Yunus Hairi dan Setiausaha Perhubungan Negeri Roslan Shahrir Mohd Shahir.

Di peringkat kepimpinan pusat, Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin baru-baru ini berkata Umno tidak seharusnya melarang kepimpinan negeri dan bahagian daripada bekerjasama dengan PAS untuk pilihan raya umum akan datang.

Dia berkata demikian sebagai menjawab amaran Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan kepada semua bahagian Umno, termasuk Selangor yang memohon autonomi untuk menewaskan PH dalam pilihan raya akan datang, supaya berpegang kepada keputusan parti yang dibuat semasa perhimpunan agung tahunannya pada Mac lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS