Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
'Muhyiddin patut dinobat pelakon terbaik Malaysia'
Diterbitkan:  Aug 30, 2022 2:07 PM
Dikemaskini: 6:10 AM

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin patut dinobatkan sebagai pelakon terbaik Malaysia, kata timbalan ketua penerangan PKR, Chua Wei Kiat.

Chua berkata, ini susulan tawaran Muhyiddin untuk bekerjasama dengan parti pembangkang bagi menghadapi BN pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Lakonon Muhyiddin memang terbaik sehingga lupa dirinya yang bersekongkol dengan Umno yang kini dilabel sebagai parti korupsi sewaktu Langkah Sheraton.

"PN atau Muhyiddin adalah antara pihak yang paling tidak layak cakap isu menyelamat negara, sebab PN yang menolong BN rampas kuasa melalui pintu belakang.

"Muhyiddin cuba memberi persepsi apa yang berlaku sekarang tiada kaitan dengan PN, tahap persembahan ini harus dinobat pelakon terbaik Malaysia,” kata Chua dalam kenyataan hari ini.

Chua yang juga Adun Rawang berkata, rakyat tidak akan lupa peranan yang dimainkan Muhyiddin sewaktu Langkah Sheraton.

Tambahnya, rakyat juga tidak lupa bahawa Muhyiddin menjadikan pandemik Covid-19 sebagai alasan menghalang parlimen berfungsi, serta mengajak parti pembangkang bekerjasama di saat akhir sebelum kerajaan PN ditumbangkan oleh BN.

"Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli telah umum Majlis Presiden PH sudah menolak kerjasama dengan PN, sebab rakyat nak parti politik yang boleh membawa kestabilan dan bukan semata-mata bekerjasama untuk rampas kuasa.

"Sejak Langkah Sheraton hingga hari ini, rakyat juga nampak PN adalah punca utama ketidakstabilan politik Malaysia,” kata Chua.

Tambahnya, jika PN benar-benar ikhlas mahu menyelamatkan negara, gabungan itu harus dibubarkan terlebih dahulu.

Ketika konvensyen PN yang berlangsung pada hujung minggu lalu, Muhyiddin berkata gabungan itu terbuka untuk berunding dengan parti-parti lain yang menentang BN.

Dia juga menjelaskan gesaan untuk membentuk pakatan pembangkang dibuat demi masa depan negara dan bukan untuk kepentingan gabungan itu.

Bekas perdana menteri itu juga menganggap kenyataan Rafizi bahawa PH tidak akan bekerjasama dengan PN sebagai pendapat peribadi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS