Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Abdul Hadi hadir ke Bukit Aman, dirakam keterangan
Diterbitkan:  Aug 30, 2022 8:15 AM
Dikemaskini: 12:15 AM

Polis telah merekodkan kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang semalam bagi membantu siasatan berhubung dakwaan dia membuat kenyataan berbaur perkauman berhubung rasuah.

"Tan Sri Haji Abdul Hadi Awang telah hadir ke JSJ Bukit Aman pada 29 Ogos 2022 bagi membantu siasatan bersabit laporan polis yang telah dibuat terhadapnya.

"Beliau telah hadir bersama peguam beliau dan telah memberikan kerjasama sepanjang sesi rakaman keterangan berlangsung.

"Siasatan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), JSJ Bukit Aman," maklum Ketua Komunikasi Korporat PDRM ACP A Skandaguru pada satu kenyataan semalam.

Semalam, Bukit Aman memaklumkan siasatan dijalankan selepas 28 laporan polis dibuat terhadap kenyataan Abdul Hadi.

Pada 20 Ogos, ahli parlimen Marang membuat hantaran di Facebook dan menyalahkan orang Melayu kerana bersikap tidak peduli terhadap undi mereka, menyebabkan bukan Melayu dan "liberal" menguasai kuasa politik negara pada pilihan raya umum lalu.

Abdul Hadi juga berkata untuk menangani penyakit rasuah, ia wajib dilakukan secara holistik supaya tidak menjadi wabak apabila diambil tindakan yang tidak menyeluruh sehingga ke akar umbinya.

"Khususnya, terhadap mereka yang menjadi punca rasuah kerana mengejar harta secara haram.

“Sehinggakan, dalam kalangan mereka itulah yang menguasai ekonomi negara lalu menggunakannya bagi merosakkan politik, urusan pentadbiran dan kehakiman.

“Malah, mereka juga golongan yang paling besar merosakkan politik dan ekonomi negara, majoritinya daripada kalangan bukan Islam dan bukan Bumiputera,” kata Hadi.

Abdul Hadi disiasat mengikut Seksyen 505(C) Kanun Keseksaan berhubung kenyataan dengan niat hendak mengapikan atau yang mungkin mengapikan mana-mana golongan atau kaum serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 2008 kerana menyalahgunakan perkhidmatan rangkaian komunikasi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS