mk-logo
Berita
Pisah fungsi AG dengan pendakwaan: Pemuda PAS ingatkan seruan Azalina dulu
Diterbitkan:  Aug 30, 2022 8:00 AM
Dikemaskini: 12:00 AM

Kenyataan Ahli MKT Umno Azalina Othman Said bahawa 'PM akan lantik AG orang dia' membayangkan institusi pendakwaan dikawal oleh perdana menteri, kata Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari.

"Ketika era pelbagai pembaharuan dari sudut menghidupkan demokrasi sebenar dilakukan oleh kerajaan pada hari ini, seruan ini kelihatan kembali ke belakang.

"Langkah yang paling baik ialah memisahkan fungsi Peguam Negara dengan tugas pendakwaan," katanya pada satu kenyataan semalam.

Menurut Ahmad Fadhli, saranan pemisahan fungsi bidang kuasa Peguam Negara merupakan perancangan oleh pihak kerajaan ketika Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan menjadi menteri undang-undang lagi.

Gambar fail.

Jelas Ahmad Fadhli lagi, menariknya perkara berkenaan dirancang sebagai menyahut cadangan ahli parlimen Pengerang sendiri yang ketika itu sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat menuntut supaya sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi pembaharuan Jabatan Peguam Negara (AGC).

"Tidak pasti perancangan itu sudah sampai ke mana, namun ia perlu dihidupkan dan dijayakan dengan serius jika mahu melihat undang-undang dilaksanakan dengan adil dan dilihat adil," katanya lagi.

Azalina ketika berucap pada Taklimat Khas Presiden di WTC kelmarin secara terbuka menyoal mengapa Ismail Sabri tidak memilih "orang dia" sebagai peguam negara.

"Jika kuasa menukarkan AG di tangan PM, mengapa PM tidak menukarkan AG, malah ia adalah bidang kuasa PM.

"Saya nak tanya satu sahaja, takkan nak tukar AG pun tak boleh," katanya bersambut sorakan kuat daripada para hadirin.

Peguam negara sekarang, Idrus Harun (gambar, atas) dipilih pada 2020 ketika Muhyiddin menjadi perdana menteri.

Untuk rekod, Azalina merupakan penasihat khas kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dalam hal ehwal undang-undang dan hak asasi manusia.

Umno mengadakan Taklimat Khas Presiden kelmarin sebagai majlis solidariti terhadap bekas perdana menteri, Najib Razak yang mula menjalani hukuman penjara 12 tahun atas kesalahan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Pada majlis berkenaan, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi turut menyentuh mengenai perkara sama, menyebut tawaran parti itu mengangkat agenda pembaharuan institusi bagi meraih undi pada PRU15 akan datang.

"Kita juga beriltizam sekiranya diberikan mandat pada PRU ke-15 nanti, kita akan memisahkan kuasa pendakwaan daripada Peguam Negara, agar pengimbangan kuasa dapat diwujudkan dalam mencapai keadilan buat semua.

"Pendirian kita jelas, kita tidak mahu mana-mana institusi perundangan mahupun penguatkuasaan diperalat oleh tangan-tangan yang berkepentingan.

"Kita tidak lagi mahu lagi budaya politik dendam dan benci terus membarah sehingga menghancurkan kerukunan dalam masyarakat kita," kata Zahid ketika berucap di Dewan Merdeka, WTC Kuala Lumpur kelmarin.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS