Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tujuh warga asing ditahan disyaki terlibat kes bunuh
Diterbitkan:  Aug 30, 2022 7:30 AM
Dikemaskini: 11:30 PM

Polis menahan tujuh warga asing kerana disyaki terlibat dalam kes pembunuhan seorang lelaki tempatan yang ditemukan di dalam bonet sebuah kereta di Jalan Tugu di Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya berkata lima lelaki dan dua wanita berusia 20 hingga 26 tahun itu, ditahan selepas pihaknya menerima maklumat berkenaan si mati pada 6.40 pagi.

Katanya siasatan di tempat kejadian menemukan seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun di dalam bonet kereta dan hasil pemeriksaan mendapati dia telah meninggal dunia.

“Susulan itu, pada 12.45 tengah hari polis menahan lima individu terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita warga asing berusia 20 tahun hingga 24 tahun bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur semalam.

Beliau berkata hasil soal siasat, kurang daripada empat jam kemudian pihaknya menahan dua lagi suspek iaitu lelaki berusia 26 tahun dan wanita berusia 22 tahun.

Noor Dellhan berkata motif serta punca kejadian masih dalam siasatan dan permohonan reman ke atas kesemua warga asing tersebut akan dibuat esok, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Pihak polis menasihati orang ramai agar tidak terlibat dengan sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS