Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, hari ini menegaskan pendirian BN untuk bergerak solo dalam pilihan raya umum (PRU) ke-15 nanti adalah muktamad.
Katanya, walaupun ada parti tertentu yang masih cuba 'menggesel-geselkan badan' mereka kepada BN, keputusan berhubung perkara itu sudah ditetapkan Umno.
Dia bagaimanapun tidak menamakan parti terbabit.
Ketika ditanya jika parti digambarkan itu adalah PAS, Mohamad meminta media meneka sendiri.
"You tulislah apa yang you nak.. you tekalah.
"Saya dah kata tadi, parti telah buat dasar.. keputusan, peganglah itu. Walaupun ada orang menggesel-gesel badan ke apa, kita akan pergi berseorangan," katanya.
Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu berkata demikian dalam sidang media selepas majlis perjumpaan dia bersama pimpinan BN Pahang di Kuantan, petang tadi.
Turut hadir Pengerusi BN Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail; Setiausaha Agong Umno, Ahmad Maslan; Setiausaha Agung BN, Zambry Abdul Kadir; Timbalan Presiden MCA, Mah Hang Soon; dan Naib Presiden MIC, M Asojan.
Mohamad ketika berucap berkata, keputusan untuk bergerak sendiri sudah diputuskan BN sebelum ini dan tidak perlu dipertikaikan lagi oleh sesiapa pun.
"Letih saya, berapa kali nak cakap, biar dia menggesel-gesel badan, dia tengah menggesel-gesel badan kat kita, dia nak menggesel badan ke dia nak apa ke, itu dia punya pasal.
"Jangan tergoda, jangan terlena dengan pujuk rayu, takkan selalu sangat kita nak kena tipu, berapa kali BN nak kena tipu?" katanya.
Mohamad turut mengingatkan semua jentera BN agar perlu bersedia kerana tarikh PRU ke-15 sudah terlalu hampir dan berkemungkinan akan diadakan dalam masa terdekat.
"Pilihan raya tak lama lagi, perdana menteri dah beri komitmen dia, tapi dia tak boleh berikan tarikh, (memanglah) takkan dia nak bagi tarikh kan?
"Sampai dia kata, takkan saya nak bawa sampai ke tahun depan, jadi jelas sangatlah, kalau pilihan raya tahun ini, takkan nak buat bulan 12 (Disember), kang berenang pula nak pergi mengundi," katanya.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai permintaan Wan Rosdy supaya BN dapat mempertimbangkan sistem kuota dalam pembahagian kerusi untuk ditandingi parti komponennya, Mohamad memberitahu, perkara itu perlu diteliti terlebih dahulu.
"Perkara ini perlu diperhalusi, langkah kita mestilah untuk menang," katanya.