mk-logo
Berita
Umno Perak mulakan petisyen pengampunan Najib
Diterbitkan:  Aug 28, 2022 6:27 PM
Dikemaskini: 10:39 AM

Umno Perak akan memulakan kutipan tandatangan petisyen untuk dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong bagi mendapatkan pengampunan kepada bekas perdana menteri, Najib Razak, yang kini dipenjarakan atas sabitan kes rasuah.

Pengerusi Umno Perak, Saarani Mohamad berkata pengumpulan tandatangan itu akan dibuat ketika parti itu mengadakan mesyuarat agung tahunan mereka, tidak lama lagi.

Saarani berkata ramai ahli parti itu bersimpati dengan nasib yang menimpa Najib dan berharap Agong dapat memberi pengampunan.

“Jadi sudah tentulah pihak istana nak tengok berapa ramai orang minta,” kata Saarani dalam sidang media sempena Program Mesra Bersama Peneroka Felda di Laman Seri Ridzuan di Ipoh, hari ini, menurut laporan Sinar Harian.

Saarani berkata di Perak sahaja lebih kurang 300,000 ahli Umno dan "alangkah baiknya" jika semua yang ada dapat menandatangani petisyen terbabit.

Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam meminta ahlinya supaya menyokong petisyen pengampunan terhadap Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Najib menjalani hukuman penjara sejak empat hari lalu selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhirnya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman bagi kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta.

Petisyen pengampunan diraja boleh difailkan oleh sesiapa sahaja dan tidak ada had untuk bilangan petisyen yang boleh diisi.

Setakat ini, pasukan pembelaan Najib dan keluarga tidak menyatakan bahawa mereka akan memfailkan apa-apa petisyen.

Bagaimanapun, gabungan proreformasi sistem pilihan raya Bersih pada 24 Ogos lalu terlebih dulu memulakan petisyen dalam talian yang memohon supaya Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tidak mengampunkan Najib Razak.

Sehingga berita ini ditulis lebih 100,000 tandatangan dikumpulkan di laman web change.org.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS