Perikatan Nasional tidak mampu ke Putrajaya dengan begitu baik pada pilihan raya umum ke-15 sekiranya gabungan itu mengulangi formula yang sama seperti di pilihan raya negeri di Melaka dan Johor, kata Ketua Pemuda Perikatan Nasional Ahmad Fadhli Shaari.
Sebaliknya, Ahmad Fadhli yang juga ketua Pemuda PAS berkata formula yang terbaik adalah “satu lawan satu”, iaitu rundingan bersama BN-Umno dengan perubahan.
Bagaimanapun, dia tidak memperincikan maksud kata "dengan perubahan" yang disebutnya itu.
“Ramuan yang paling baik dalam PRU akan datang ialah satu lawan satu. Kita bimbang kalau kita masih lagi mengulangi isu tiga penjuru, kita tak mampu mara ke Putrajaya dengan begitu baik.
“Rundingan perlu dilakukan… justeru itu, pimpinan sudah tentu melihat bahawa antara Pakatan Harapan yang telah perintah dengan bahana polisinya dan juga Barisan Nasional yang ada liabilitinya, mana satu yang kita perbaiki untuk kita jadikan satu kawan untuk kita mara ke Putrajaya.
“Kalau seandainya Umno-BN ada sedikit perubahan di kalangan mereka saya fikir rundingan perlu dibuat untuk kita pastikan supaya tragedi 2018 tidak berulang lagi,” katanya dalam ucapan Konvensyen Perikatan Nasional 2022 di Maeps, Serdang hari ini.
Ahli Parlimen Pasir Mas berkata PN tidak boleh melakukan kesilapan yang sama berulang kali dan mengharapkan keputusan yang berbeza.
“Kita dah lakukan ramuan yang sama di (PRN) Melaka, kita gagal, ramuan yang sama di (PRN) Johor, kita gagal.
“Adakah ramuan yang sama kita nak ulang sekali lagi dan akan terus gagal? Sama sekali tidak," katanya.
Sekiranya PN melaksanakan strategi yang sewajarnya, gabungan itu mampu menghadapi pilihan raya dengan mudah walaupun ia diadakan dalam masa terdekat.
Terdapat desas-desus mendakwa PRU15 akan diadakan dalam masa terdekat susulan gesaan dibuat selepas Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun terhadap bekas perdana menteri Najib Razak minggu lalu berhubung kes SRC International.
“Kita mohon kepada semua pihak supaya tak ada masa lagi kita nak bernostalgia dan kita tak perlu lagi nak kita bernostalgia untuk kita membentangkan kepada rakyat kerana rakyat telah melihat dengan mata kepala mereka.
“Alhamdulillah dua tahun lalu kecemerlangan itu rekod.
"Tetapi untuk menjadikan nostalgia itu sebagai suatu perkara yang utama untuk kita bentangkan kepada rakyat dengan harapan untuk mereka memilih kita sekali lagi, (namun) kita melihat itu perkara yang tidak boleh lagi dijadikan harapan dan juga satu keutamaan,” katanya menyorot prestasi PN sewaktu memimpin negara pada Mac 2020.