Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zahid: Saya, Najib tak pernah tuntut PM gugurkan kes
Diterbitkan:  Aug 27, 2022 5:19 PM
Dikemaskini: 10:47 AM

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata dia tidak pernah memohon perdana menteri kelapan Muhyiddin Yassin, mahupun Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk menggugurkan kesnya di mahkamah.

"Kita sentiasa berpegang kepada keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

"Saya tidak pernah menuntut supaya kes saya digugurkan sama ada kepada perdana menteri kelapan - 'Abah kau' yang bergantung hayat politiknya dulu atas sokongan kita.

"Saya juga tidak pernah memohon kepada perdana menteri kita sekarang, orang parti kita untuk menggugurkan kes saya,” katanya ketika berucap di Dewan Merdeka WTC Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Zahid, dia percaya Najib Razak juga tidak mahu menggugurkan kes di mahkamah.

Sebaliknya, kata Zahid bekas perdana menteri itu sama seperti dirinya "mahu membersihkan namanya di mahkamah."

"Apa yang dituntut oleh Datuk Seri Najib hanyalah perbicaraan yang adil. Ini yang menyebabkan kita terkilan…

“Apa yang dipohon hanyalah penangguhan sementara bagi membolehkan pasukan peguamnya membuat persediaan rapi.

"Bukan pengguguran kes atau sengaja untuk melengahkan kes," katanya.

Pada 23 Ogos, Najib mula menjalani hukuman penjara 12 tahun. Ini berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Pada pertengahan Ogos, Mahkamah Persekutuan menolak permohonannya untuk mengemukakan bukti baru. Peguam baru Najib juga gagal mendapat penangguhan pendengaran selama beberapa bulan, atas dasar mereka perlukan masa untuk membuat persediaan.

Susulan itu, Najib mengeluarkan kenyataan berkenaan bagaimana haknya untuk kebebasan dan mendapat perbicaraan yang adil telah dinafikan.

Pada 21 Julai lalu, permohonannya untuk menggunakan khidmat peguam diraja United Kingdom (UK) juga gagal apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan peguam tersebut, Jonathan Laidlaw untuk mewakili Najib.

Bagaimanapun, perbicaraan Najib di mahkamah bagi kes lain belum berakhir.

Dia kini masih dibicarakan atas empat pendakwaan berkaitan menggunakan kedudukannya untuk mendapat rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram untuk jumlah yang sama.

Dalam pada itu, Zahid juga berkata isu pemenjaraan Najib dapat menjadi asbab penyatuan Umno.

"Peristiwa menimpa Datuk Seri Najib yang amat menyedihkan ini sepatutnya menyatukan kita bukan memecahkan kita," katanya.

“Kita adalah keluarga besar. Jangan ada kluster-kluster.

“Kita hanya ada satu kluster iaitu kluster Umno

"Cubit peha kanan, peha kiri terasa sakitnya," katanya lagi.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS