Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Radzi: Walau dengan tempoh singkat, PN tadbir lebih baik dari BN

Meskipun hanya menjadi kerajaan selama 17 bulan, Perikatan Nasional (PN) menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding BN yang selama lebih lebih enam dekad mentadbir negara, kata Naib Presiden Bersatu Mohd Radzi Md Jidin.

Dalam ucapannya di Konvensyen PN hari ini, Radzi memberi beberapa contoh kejayaan PN antaranya melupuskan hutang peneroka Felda serta program yang memberi manfaat kepada penduduk di Sabah dan Sarawak.

“Pengerusi (Muhyiddin Yassin) memimpin kerajaan sekitar satu tahun lima bulan… tempoh ini kita ada track record amat cemerlang.

“Dalam banyak-banyak gabungan parti di Malaysia ini, gabungan di peringkat persekutuan yang paling baru adalah PN. Tempoh singkat dua tahun tapi track record dan impak ditinggalkan kepada rakyat amat jelas.

"Sahabat-sahabat di Sabah, Sarawak bercakap bagaimana (dalam) tempoh singkat ini manfaat sampai ke Sabah, Sarawak yang ditunggu berpuluh tahun sejak BN,” katanya di hadapan 1,300 perwakilan di Maeps, Serdang hari ini.

Dia berkata, sementara BN menganggap Sabah dan Sarawak sebagai "deposit tetap" ketika pilihan raya, PN pula menjadikan dua negeri itu sebagai "sahabat".

Radzi yang juga menteri pendidikan ketika pentadbiran PN dan juga sekarang turut memberi contoh hutang peneroka Felda yang sering dibangkitkan setiap tahun.

“Lepas berpuluh tahun siapa yang selesaikan lebih RM8.3 bilion hutang peneroka Malaysia diselaraskan.

“Ini impak baru setahun lima bulan jadi PM. Cuba bagi penuh penggal, Insya-Allah kita akan lihat impak pada rakyat jauh lebih baik,” katanya.

Mengimbas semula ketika Covid-19 yang melanda negara, Radzi berkata prestasi PN juga dapat dilihat dengan bagaimana krisis kesihatan itu diuruskan.

Untuk rekod, pentadbiran PN pernah dikritik antaranya berhubung pengendalian perintah kawalan pergerakan (PKP) - yang merangkumi beberapa tahap sekatan - dengan ada yang dibuat di saat akhir.

Antaranya pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) PKP.

Malah, Radzi ketika memegang jawatan yang sama dalam Kabinet Perdana Menteri Ismail Sabari Yaakob turut dikritik antaranya dalam isu pemeriksaan haid di kolej dan sekolah serta jenaka seksual di sekolah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS