Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PH jadi kerajaan 'mi segera, tak masak', kata Hadi

Presiden PAS Abdul Hadi Awang hari ini menyifatkan PH menjadi kerajaan “mi segera tidak masak” sewaktu mentadbir negara selepas PRU14.

Dalam memberikan perumpamaan itu, Hadi yang juga timbalan pengerusi PN menyebut isu perebutan jawatan perdana menteri yang menurutnya sering dibangkitkan ketika itu, berbanding hal berkaitan negara dan rakyat.

“PH mengambil alih, bercelaru..Sudahlah kerajaan mi segera tak masak, berlaku krisis berebut nak jadi PM, nak jadi pemimpin. (Ia) menyebabkan alpa masalah yang patut diutamakan.

“Kita mengambil alih dalam keadaan teratur, tiada darah yang tumpah, tiada demonstrasi, tak bergaduh rakyat dengan polis.

“Perubahan sangat hebat yang kita lakukan. Tak berlaku krisis berebut (jawatan) PM,” katanya di hadapan kira-kira 1,300 perwakilan yang hadir di Konvensyen Perikatan Nasional di Maeps, Serdang hari ini.

Sepanjang pentadbiran PH, antara perkara yang sering ditimbulkan adalah pelan peralihan jawatan perdana menteri daripada Dr Mahathir Mohamad kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Kerajaan PN ditubuhkan selepas kerajaan PH tumbang susulan Langkah Sheraton pada Februari 2020, di mana Bersatu dan sekumpulan ahli parlimen PKR yang memihak kepada bekas timbalan presidennya Azmin Ali keluar dari PH.

Dengan Muhyiddin diangkat menjadi perdana menteri, kerajaan itu turut disokong ahli parlimen Umno, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan beberapa parti lain.

Namun, Muhyiddin hanya bertahan selama kira-kira 17 bulan apabila ahli parlimen Umno menarik balik sokongan terhadapnya. Kedudukannya digantikan Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob pada Ogos 2021.

Mengimbas semula peristiwa bagaimana Muhyiddin Yassin mengendalikan penularan wabak Covid-19 ketika itu, Abdul Hadi sekali lagi menegaskan tindakan PN mengambil alih kerajaan sebelum ini dilakukan secara demokrasi.

Menyorot peristiwa dua tahun lalu, Abdul Hadi berkata kerajaan PN menggantikan kerajaan PH kerana berjaya mengumpul sokongan yang cukup daripada ahli-ahli parlimen dari pelbagai parti.

“Rakan-rakan Bersatu yang (sebelum itu) keluar dari Umno, keluar dari PH, bersama dengan parti yang lain, PAS, parti Sabah, parti Sarawak dan Umno membuat perubahan kerajaan baru secara demokratik

“Bukan pintu belakang, (tetapi secara) demokratik dengan mengumpul (sokongan) ahli parlimen yang cukup. Ini demokrasi. Kita mengambil alih kerajaan untuk kukuhkan kerajaan,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS