Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin mengibaratkan gabungan BN dan PN seperti langit dan bumi, walaupun mana kedua-duanya seakan sama.

Berucap di Konvensyen PN hari ini, Muhyiddin membayangkan PN bukan gabungan yang "ambil mana yang sempat" seperti BN, sambil memberi contoh rakaman video ucapan Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi di Konvensyen BN Selangor baru-baru ini.

“Sekadar perbandingan, baru-baru ini saya lihat satu video yang viraltular tentang ucapan pengerusi BN di Konvensyen BN Selangor. Dia bagi arahan kepada menteri kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz – 'jangan ambil kesempatan, tapi ambillah mana yang sempat'.

“Dia sebut ini secara serius dan disambut dengan gelak ketawa oleh para hadirin. Seolahnya semua yang hadir faham apa maksud dia.

“Ya, saya pun faham maksud dia dan saya fikir saudara dan saudari pun faham apa maksudnya. Inilah beza PN dan BN,” katanya.

Membangkitkan pentadbirannya sewaktu negara dilanda pandemik Covid-19, Muhyiddin berkata dia ketika itu memberi arahan kepada Tengku Zafrul selaku menteri kewangan untuk mencari dana agar dapat diagihkan kepada rakyat yang dilanda kesusahan.

“Pengerusi BN (pula) arah menteri kewangan supaya kaut apa yang ada selagi sempat untuk kepentingan suku-sakat mereka," dakwanya.

“Jadi, walaupun Perikatan Nasional dan Barisan Nasional namanya hampir sama, tetapi bezanya jauh ibarat langit dan bumi dan saya harap pengundi jangan salah pilih dalam PRU15 nanti," katanya lagi.

Sewaktu konvensyen BN Selangor beberapa minggu lalu, Ahmad Zahid Hamidi juga dilaporkan memetik Pengerusi BN Selangor Noh Omar yang berkata Zafrul akan “bawa gula.”

Kenyataannya itu telah menimbulkan rasa curiga pemimpin Bersatu. Ia ditambah pula dengan pelantikan Zafrul sebagai bendahari BN Selangor dan diperkatakan mungkin akan bertanding di kerusi Parlimen Kuala Selangor.

Muhyiddin berkata pengalaman lalu telah mengajar Malaysia bahawa budaya politik yang mengamalkan rasuah merupakan satu kemungkaran yang merosakkan.

“Amalan ‘ambil apa yang sempat’ atau ‘rembat apa yang dapat’ atau ‘sakau-menyakau’ tidak boleh menjadi budaya dalam Perikatan Nasional.

“Ini budaya yang salah dari segi hukum agama, undang-undang, moral dan etika masyarakat. Amalan ini jika dibiarkan membarah boleh menjadi punca kejatuhan bukan sahaja parti politik, tetapi masyarakat, negara dan tamadun,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS