Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MTUC kesal k'jaan tangguh laksana Akta Kerja
Diterbitkan:  Aug 27, 2022 8:30 AM
Dikemaskini: 12:30 AM

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) membidas tindakan kerajaan yang didakwa berdolak-dalik dalam menguatkuasakan semua pindaan Akta Kerja 1955/22.

Setiausaha Agung MTUC Kamarul Baharin Mansor (gambar, bawah) berkata dia "terkejut dan kecewa" dengan keputusan kerajaan menangguhkan penguatkuasaan pindaan Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 kepada 1 Jan 2023.

Pelaksanaan itu sepatutnya bermula pada 1 Sept.

"MTUC tidak di bawa berbincang dengan cadangan pernangguhan tersebut. Pekerja seperti di pulaukan oleh kerajaan walaupun kesan terakhir kebaikan pindaan ini kepada pekerja.

“MTUC tidak menjangka tindakan kerajaan ini. MTUC hairan dengan tindakan flip flop kerajaan yang baru sahaja wartakan Pindaan Akta Kerja di laksanakan pada 1 Sept 2022. Amat malang bagi kaum pekerja yang menunggu pindaan ini.

"Adakah kerajaan hanya menuruti kehendak majikan dan tidak mengendahkan keperluan jutaan pekerja yang mempunyai kuasa memilih kerajaan?

"Adakah kepentingan pekerja perlu di abaikan dan kepentingkan golongan kayangan perlu di turuti," soalnya pada satu kenyataan malam tadi.

Kamarul berkata kerajaan perlu mengadakan mesyuarat Mesyuarat Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC) dan berbincang isu penangguhan kerana ia melibatkan kepentingan pekerja.

Jelasnya lagi, MTUC akan mengadakan mesyuarat khas untuk meneliti dan membincangkan penangguhan akta kerja itu.

Semalam, Menteri Sumber Manusia M Saravanan (gambar, atras) berkata kabinet bersetuju untuk menangguhkan penguatkuasaan semua pindaan Akta Kerja kepada tahun depan.

Keputusan itu termasuk pelaksanaan had kerja 45 jam seminggu.

Pindaan utama lain yang diluluskan dalam sidang parlimen Mac termasuk pelanjutan cuti bersalin dari 60 hari ke 98 hari, sekatan terhadap pemberhentian pekerja hamil dan pengenalan cuti paterniti bagi pekerja lelaki yang sudah berkahwin.

Pindaan akta itu, juga dikenali sebagai Akta 265, menerima perkenan diraja pada 26 April dan disiarkan dalam Warta Kerajaan Persekutuan pada 10 Mei.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS