Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lebih baik Pemuda PAS anjur protes skandal LCS, kata MP
Diterbitkan:  Aug 26, 2022 4:56 PM
Dikemaskini: 8:56 AM

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago mencabar ketua pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari untuk mengadakann protes besar-besaran membanteras skandal kapal tempur pesisir (LCS).

Ia sebagai respons terhadap kata dua yang diberikan Ahmad Fadhli untuk menggerakkan bantahan di seluruh negara jika kerajaan kekal dengan keputusan membenarkan konsert diadakan.

“Saya ada idea yang lebih baik… Idea saya adalah PAS sepatutnya menganjurkan protes besar-besaran di seluruh negara yang melibatkan atau menentang rasuah.

“Yang terbaru merupakan korupsi melibatkan LCS, (berjumlah) antara RM6 bilion ke RM11 bilion.

“Saya gesa pemuda PAS lakukan protes di seluruh negara dan saya jamin bahawa saya akan sertai mereka dalam protes itu,” sindir pemimpin DAP itu dalam video yang dimuat naik di Twitter.

Ahmad Fadhli Shaari

Semalam, dalam memberikan justifikasi bantahannya itu, Ahmad Fadhli yang juga ahli parlimen Pasir Mas berkata antara sebab mengapa siri konsert tidak wajar dibenarkan di negara ini ialah kerana masa yang tidak sesuai.

Selain itu katanya, konsert juga tidak membawa sebarang nilai yang bersesuaian, serta bertentangan dengan Islam sebagai agama persekutuan.

Charlesyang merupakan ahli parlimen DAP berkata dia akan menunggu maklum balas daripada Ahmad Fadhli berhubung cabarannya itu.

“Saya cabar kamu sahut cabaran saya. Ahmad Fadhli Shaari, saya akan tunggu respons anda,” katanya lagi.

Gesaan Ahmad Fadhli dikeluarkan genap seminggu selepas penyanyi terkenal Amerika Syarikat, Billie Eilish, mengadakan persembahan di Kuala Lumpur.

Difahamkan, selepas ini ada beberapa lagi konsert yang dijadual berlangsung di negara inii, antaranya Justin Bieber, Dewa19 dan Blackpink.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS