Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kenapa jalan persekutuan sering rosak, sesak?' - Adun Rawang

Adun Rawang Chua Wei Kiat menggesa kerajaan persekutuan memberi tumpuan kepada kesesakan lalu lintas khususnya di jalan raya persekutuan.

Ia selepas, pemimpin PKR itu mendakwa bahawa jalan raya persekutuan sering menghadapi isu kerosakan dan kesesakan lalu lintas kerana diselenggara dengan baik.

"Kami wakil rakyat memang ada pengalaman yang negatif pasal jalan raya persekutuan.

"Jalan raya negeri dan jalan JKR senang nak dapat peruntukan untuk naik taraf. Jalan persekutuan sangat susah payah untuk mendapatkan peruntukan.

"Ini bukan sahaja di bandar...malah kawan-kawan saya dari Pahang pun mempunyai isu yang sama.

"Kenapa hanya jalan persekutuan sering tidak selenggara dengan baik," soalnya kepada pemberita selepas melawat projek menaik taraf Jalan Perindustrian Rawang (FT3209), hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Selayang William Leong.

Menurut Chua, Jalan Perindustrian Rawang berhadapan masalah lebih 30 tahun.

"Masalah ini adalah akibat rancangan yang tidak teratur pada zaman dulu. Jalan dibina secara sempit (bottleneck). Untuk melepasi kesesakan lalu lintas sepanjang 300 meter perlu lebih 30 minit.

"Walaupun, perkara ini dibangkitkan berkali-kali tiada peruntukan daripada kerajaan pusat sehingga Kerajaan Pakatan Harapan memperuntukkan bajet untuk naik taraf jalan ini di bawah Rancangan Malaysia ke 11 (RMK11) pada 2020.

"Hasilnya, kerajaan pusat telah meluluskan RM227 juta di mana projek telah bermula pada 22 Ogos ini," katanya.

Antara skop projek adalah menaik taraf jalan berkembar empat lorong sepanjang 3.2 km dan membina laluan atas empat lorong dari persimpangan Kuala Garing hingga persimpangan Bristol-Kuang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS