Rayuan bekas Pengerusi Tabung Haji, Abdul Azeez Abdul Rahim untuk membatalkan 13 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya ditangguhkan sekali lagi.
Ini selepas pihak pembelaan memaklumkan Abdul Azeez tidak dapat hadir ke mahkamah kerana sedang menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Susulan itu panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Kamaludin Md Said bersama Abu Bakar Jais dan Che Mohd Ruzima Ghazali menangguhkan kes itu pada 5 September depan.
Ketika prosiding, hakim Kamaludin berkata, pihaknya tidak mempertikai tahap kesihatan Abdul Azeez namun berharap proses mahkamah tidak disalah guna, lapor Berita Harian.
"Kes ini sudah banyak kali ditangguhkan dan kita banyak kes lain yang perlu didengar. Berkaitan representasi oleh pembelaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara (AGC), kalau tiada jawapan daripada mereka, kita anggap tiada apa-apa.
"Namun, kita berharap pihak terbabit menjawab (representasi itu), kalau tolak perlu beritahu supaya ada jawapan serta perkara itu tidak tergantung," katanya.
Pada masa sama, Abu Bakar berkata, mahkamah sudah bersedia untuk memberi keputusan berhubung kes berkenaan.
Terdahulu, peguam bela Abdul Azeez, Amer Hamzah Arshad, berkata anak guamnya mengalami gastrik sejak jam 2 pagi tadi dan sedang menerima rawatan di PPUM.
Dia berkata, pihaknya akan mengemukakan cuti sakit (MC) Abdul Azeez kepada mahkamah bagi mengesahkan perkara itu.
Pada 1 Julai lalu, pasukan pembelaan memohon keputusan rayuan Abdul Azeez bagi membatalkan tuduhan berkenaan di Mahkamah Rayuan ditangguhkan.
Amer Hamzah dilaporkan berkata, ia bagi memberi ruang dan masa kepada SPRM menjalankan siasatan terhadap penemuan fakta serta bukti baru kes itu yang diserahkan oleh pihaknya kepada AGC.
Pada 12 Mac tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Abdul Azeez bagi membatalkan kes sama.
Abdul Azeez, 54, yang juga Ahli Parlimen Baling menghadapi tiga tuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berkaitan projek jalan raya di Perak dan Kedah serta 10 pertuduhan pengubahan wang haram mencecah jutaan ringgit.
Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 serta dibaca bersama seksyen 16(a)(A) dan seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda.