Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Baca penghakiman dulu, kata Anwar pada pihak mohon pengampunan

Pihak yang memohon Najib Razak diberi pengampunan diraja perlu terlebih dahulu membaca keputusan hakim yang mengendalikan kes rasuah SRC International bekas perdana menteri itu, kata Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, keputusan kedua-dua Mahkamah Tinggi untuk menyabitkan Najib serta Mahkamah Persekutuan yang mengekal sabitan itu, menunjukkan ia kes rasuah yang jelas.

"Itu (mohon pengampunan diraja) hak masing-masing tetapi baca dulu penghakiman. (Mereka) yang marah sangat dekat hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali, baca keputusannya (penghakiman).

"Baca seperti mana yang disebut (dalam penghakiman) Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, kes terlalu terang.

"Baca dulu, berapa juta (diambil), masuk akaun mana, beli berlian mana. Baik kita baca dan tahu, selepas itu kita tak akanlah pertahankan (Najib)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri satu seminar ekonomi di Subang Jaya, Selangor hari ini.

Anwar berkata demikian ketika mengulas sekumpulan penyokong Najib yang ke Istana Negara semalam untuk menyerahkan memorandum memohon pengampunan diraja diberikan kepada Najib.

Dia juga mengingatkan Najib masih ada kes "lebih besar" berkaitan 1MDB yang sedang dibicarakan di mahkamah.

"Jadi tunggulah," katanya lagi.

Anwar sendiri menerima pengampunan diraja pada Mei 2018 selepas PH menjadi kerajaan persekutuan. Ketika itu, dia telah menjalani hukuman penjara selama tiga tahun berkaitan sabitan kes liwat. Dia kekal menyatakan pendakwaan itu bermotifkan politik.

Hari ini, presiden PKR itu turut membangkitkan laporan Global Financial Integrity yang mendakwa ratusan juta ringgit telah diselewengkan dari negara ini, seperti yang didedahkan dalam Panama Papers dan Pandora Papers.

Katanya, perkara itu mesti disiasat agar pihak yang rasuah tidak merasakan mereka telah selamat hanya kerana Najib sudah dipenjara.

"Kita tengok reaksi terhadap hukuman ke atas Najib, saya tengok pemimpin yang rasuah besar juga ada kata 'bagus'.

"Saya rasa aneh juga. Rasuah tak boleh (dilihat) khusus kepada seorang sahaja. Ini soal mahkamah, tetapi yang lain juga patut disiasat.

"Saya ingatkan perasuah-perasuah besar ini jangan ingat mereka boleh selamat begitu saja, cakap seolah-olah tiada apa-apa berlaku," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS