Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Presiden: PBM akan bertanding di Sarawak, Zuraida disalah petik
Diterbitkan:  Aug 25, 2022 3:16 PM
Dikemaskini: 12:34 PM

Parti Bangsa Malaysia (PBM) menjelaskan bakal presidennya, Zuraida Kamaruddin disalah petik apabila dilaporkan berkata parti itu tidak akan bertanding di Sarawak pada PRU15.

Presidennya Larry Sng berkata PBM akan mempertahankan semua kerusi yang disandang mereka.

Pada masa ini, PBM hanya ada satu kerusi di Sarawak, iaitu Parlimen Julau yang disandang Sng.

"Saya fikir dia disalah petik. Saya bercakap dengan dia dan dengar rakaman (kenyataannya). Sebenarnya, Zuraida bukan kata kita tak bertanding. Kita akan bertanding di semua kerusi yang disandang," katanya.

Sng berkata soalan yang ditanya pemberita serta jawapan Zuraida tidak jelas dalam rakaman yang dimilikinya kerana rakaman dibuat pada jarak yang agak jauh.

Terdahulu, Bernama melaporkan Zuraida berkata PBM tidak akan meletakkan calon di Sarawak pada PRU akan datang.

“Tidak, kami (PBM) tidak akan (bertanding di Sarawak), tidak ada BN di sini,” katanya

Dalam laporan sama, Zuraida turut berkata PBM masih ingin menyertai BN dan gabungan itu sedang menilai permohonan mereka.

“Permohonan dah diterima BN dan mereka kini menelitinya...Kami melihat kepada apa yang terbaik untuk parti di samping berpegang kepada rancangan kami (untuk menyertai BN),” katanya seperti dipetik.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS