Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jangan gembira sangat, kes Najib jadikan pedoman - Mat Sabu
Diterbitkan:  Aug 24, 2022 1:28 PM
Dikemaskini: 5:43 AM

Amanah menasihatkan orang ramai tidak terlalu gembira dan angkuh apabila musibah menimpa seseorang.

“Sebaliknya kita hendaklah menjadikan ia sebagai suatu panduan dan pedoman, supaya kita yang masih berada di luar dan bebas ini, tidak mengulangi kesilapan,” kata presidennya Mohamad Sabu.

Semalam, bekas perdana menteri Najib Razak dihantar ke Penjara Kajang selepas gagal membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskannya bersalah dalam kes rasuah RM42 juta melibatkan dana SRC International Sdn Bhd.

Najib akan menjalani hukuman penjara 12 tahun dan perlu membayar denda RM210 juta.

Najib ketika dibawa ke penjara

Hukuman itu disambut baik pembangkang dan pengkritiknya yang sudah bertahun-tahun membangkitkan isu itu.

Menulis di media sosial pagi ini, Mohamad berkata rakyat Malaysia hendaklah berazam terus untuk membina negara yang lebih baik dan membanteras rasuah secara berterusan. 

“Kita berusaha dan mendoakan supaya negara Malaysia dan rakyatnya berada dalam keadaan aman, damai, berintegriti dan keadilan sosial dapat ditegakkan sebaik mungkin pada masa yang akan datang,” katanya.

Keputusan semalam dibuat secara sebulat suara oleh panel lima hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tengku Mat.

Tengku Maimun berkata hakim perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali  betul semasa memutuskan kes prima facie ke atas Najib dan mengarahkannya membela diri bagi tujuh pertuduhan rasuah.

Pada 28 Julai 2020, mahkamah itu menyabitkan Najib bersalah atas satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan pecah amanah jenayah dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS