Paling Popular
Terkini

ULASAN | Pendedahan ketirisan dalam projek pembinaan kapal pesisir pantai (LCS) dan nasib Najib Razak yang sudah diputuskan semalam membuktikan betapa kroniknya isu integriti di negara ini.

Dari sudut lain, apa yang berlaku adalah bukti bahawa keputusan rakyat menolak Umno-BN dalam pilihan raya umum (PRU) lalu sebenarnya sangat tepat. Perjuangan menegakkan sebuah kerajaan berintegriti itu memang sangat mustahak.

Justeru jika perjuangan itu membawa impak yang besar kepada rakyat dan negara, bukankah kita sepatutnya memperkukuh dasar integriti pada PRU ke-15? Tidakkah ini ramuan yang mujarab untuk menundukkan Umno-BN?

Malangnya, perkembangan positif itu tidak digarap sepenuhnya oleh segelintir ahli politik Melayu. Mereka sanggup melangkah ke belakang untuk mengukuhkan naratif kaum bagi melawan Umno-BN. Sebab itu jugalah Gerakan Tanah Air (GTA) ditubuhkan.

GTA khabarnya berhasrat menjadi platform kepada orang Melayu untuk menolak pemimpin dan parti Melayu yang korup, khususnya Umno. Mereka mahu memperjuangkan nasib orang Melayu-Islam yang didakwa masih bergelumung dengan rasuah dan salah guna kuasa.

Bagi mereka, isu integriti dan Melayu adalah penting memandangkan kebanyakan pemimpin Melayu dalam pejabat awam cenderung mengkhianati amanah, serta terpalit dengan rasuah.

Oleh itu, GTA menawarkan barisan pemimpin yang diuar-uarkan sebagai jujur dan amanah untuk dipilih orang Melayu apabila mereka diberi ruang untuk mengundi nanti.

Mudah termakan provokasi

Peliknya, mengapa GTA masih membebankan hanya orang Melayu dalam usaha membasmi rasuah? Adakah rasuah hanya ditakdirkan untuk suatu kaum sahaja?

Persoalan ini menunjukkan betapa kakunya GTA mengaitkan integriti dan rasuah dengan sesuatu kumpulan atau etnik. GTA seperti membentuk ‘buih’ yang menjauhkan orang Melayu daripada realiti politik.

Mengapa kita mahu menjadi katak di bawah tempurung ketika sebenarnya dunia di luar sana begitu luas? Bukankah bersama-sama melawan parti rasuah itu lebih berkesan?

Pemikiran lama yang didendangkan oleh sebilangan ahli politik Melayu yang mengaitkan bangsanya sendiri sebagai pemalas, perasuah, dan boros itulah menjadi antara faktor kerajaan Pakatan Harapan (PH) hanya bertahan selama 22 bulan.

Sebenarnya, kewujudan GTA hanyalah reaksi tempang sesetengah pemimpin Melayu yang mudah termakan dengan umpan provokasi kaum dan agama yang didendangkan Umno-BN. Dan, ia bukan naratif tepat untuk mengalahkan mereka pada PRU ke-15 nanti.

Tempoh selepas PRU ke-14 sudah memberi ruang kepada kewujudan gabungan parti politik Melayu kononnya ingin menyelamatkan orang Melayu-Islam yang terancam waktu itu.

Pertama, Umno-PAS menubuhkan Muafakat Nasional (MN) pada 14 Sept 2019 dengan tujuan mengembangkan naratif Islam dan Melayu.  

Kedua, wujud pula gabungan Perikatan Nasional (PN) yang cuba membawa imej kerajaan Melayu-Islam sebagai hujah untuk menggantikan PH yang kononnya mengancam orang Melayu.

Apakah persamaan MN dan PN yang kononnya ingin menegakkan naratif Melayu-Islam? Kedua-duanya telah dihancurkan oleh Umno setelah mereka kembali berkuasa. Apakah GTA tidak menyedari perkara ini?

Suasana yang berbeza

Dari sudut percaturan pilihan raya, GTA sukar menarik ramai pengundi Melayu. Pertama, imej ultra Melayu yang dibawa parti komponen GTA tidak secocok dengan pemikiran majoriti pengundi yang lebih sederhana, khususnya belia dan kumpulan atas pagar.

Contohnya, pendirian Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) yang didakwa menolak kerjasama dengan orang bukan Melayu atas faktor 'manipulasi ekonomi' itu tidak akan menarik lebih ramai pengundi Melayu memandangkan majoriti mereka masih percaya pentingnya kerjasama dengan semua kaum untuk mentadbir negara.

Kedua, rekod prestasi parti politik dalam GTA yang selalu kalah dan hilang deposit menjadi faktor pengundi Melayu tidak akan memilih mereka. Putra tewas dan hilang deposit di semua kerusi yang mereka tandingi semasa pilihan raya negeri (PRN) Melaka.

Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) juga kalah dan hilang deposit di semua kerusi mereka tandingi dalam PRN Johor. Suasana berbeza sekali dengan prestasi PN dan PH yang masih memenangi beberapa kerusi di Johor dan Melaka.

Bukankah ini hanya membuktikan formula ‘parti Melayu lawan parti Melayu’ yang diketengahkan GTA tidak akan berhasil?

Sebab itu kewujudan GTA penuh dengan persoalan. Naratif yang cuba dibina mereka hanya bersifat peribadi dan untuk melepaskan kemarahan kepada parti lain yang turut melawan Umno-BN.  

Realitinya, tidak mudah untuk meyakinkan pengundi Melayu agar menerima perubahan dan menolak pemimpin korup dalam bangsanya. Tetapi, langkah politik menaikan sentimen kaum dalam kalangan orang Melayu melawan rasuah juga bukan peluru tunggal untuk menumbangkan parti yang korup.

Pasca-PRU ke-14 menyaksikan politik orang Melayu berkembang secara evolusi. Maksudnya, mereka sudah menerima idea reformasi institusi dan politik berintegriti satu demi satu.

Meskipun sedikit, tetapi mereka sudah berani membincangkan perkara ini di khalayak ramai secara terbuka.

Ia juga memberi keyakinan kepada orang Melayu untuk menuntut kerajaan yang lebih berfungsi selain Umno-BN dan PAS.

Malangnya, evolusi itu tergugat kerana sikap majoriti ahli politik Melayu yang tidak jujur dan gila kuasa setelah menjadi kerajaan melalui Langkah Sheraton. Dan, kebanyakan pengundi Melayu melihat GTA bakal mengulangi kesilapan Umno, Bersatu, dan PAS.

Perkara paling besar yang bakal mencipta sejarah politik negara pada PRU akan datang ialah menolak Umno-BN untuk kembali ke Putrajaya buat kali kedua. Penolakan ini boleh memberi ruang kepada kerajaan baru untuk menyelidik kes-kes rasuah yang masih belum selesai sejak PRU ke-14.

Jika majoriti pengundi masih memilih Umno-BN yang tidak habis-habis berdepan isu integriti dalam PRU ke-15 nanti, itu namanya langkah berpatah balik. Ia hanya merugikan rakyat dan menggembirakan kluster mahkamah.


FAKHRURRAZI RASHID ialah penyelaras penyelidik Pusat Penyelidikan Untuk Kemajuan Masyarakat (Refsa).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS