Anak perempuan Najib Razak, Nooryana Najwa hari ini berikrar untuk terus berjuang sehingga "keadilan ditegakkan".
"Mungkin perjuangan kita belum cukup kuat. Mungkin kita letakkan kepercayaan penuh terhadap sistem keadilan kita.
"Mungkin kita percaya sepenuh hati kepada perjuangan dan matlamat kita, jadi kita tetap melawan selama empat tahun ini.
"Namun anda tidak dapat keadilan hari ini atau ada peluang untuk menang.
"Namun 'bossku' tidak berakhir di sini," katanya di Instagram petang tadi.
Nooryana berkata dia, ibunya Rosmah Mansor dan adik-beradiknya tidak akan berhenti sehinggalah Najib pulang ke pangkuan mereka.
"Kami cukup bangga dengan kekuatan ayah.
"Saya akan pegang kata-kata hikmah ayah kepada saya setiap hari, 'mereka boleh kawal segalanya tetapi mereka tak boleh kawal kekuatan minda dan emosi anda'...
"Terus cekal, Allah bersama ayah. Sentiasa bersama...," katanya lagi.
Keputusan kes Rosmah 1 Sept ini
Nasib ibunya, Rosmah pula akan diketahui pada 1 September ini apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menyampaikan keputusan terhadap perbicaraan rasuah berkaitan projek tenaga solar di sekolah pedalaman Sarawak berjumlah RM1.25 bilion.
Terdahulu hari ini, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Najib berhubung kes SRC International berjumlah RM42 juta.
Dia dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta. Jika gagal menjelaskan denda tersebut, hukuman penjara akan ditambah lima tahun lagi.
Selepas mahkamah menyampaikan keputusannya, Najib terus dibawa ke Kompleks Penjara Kajang untuk menjalani hukumannya, petang tadi.