Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Umno: Kes Najib akan terus diulas, dihakimi rakyat
Diterbitkan:  Aug 23, 2022 5:32 PM
Dikemaskini: 10:44 AM

Pemimpin Umno hari ini melahirkan rasa sedih dan terkilan terhadap keputusan mahkamah persekutuan yang mengekalkan sabitan bersalah terhadap bekas perdana menteri, Najib Razak atas tuduhan rasuah membabitkan RM42 juta dana SRC International.

Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan mengingatkan bahawa keputusan mahkamah tertinggi itu akan terus diulas dan sedang dihakimi rakyat.

“Kes ini akan terus diulas. Rakyat juga sedang menghakimi. Diharap beliau dan keluarga terus tabah,” ciapnya di Twitter.

Dalam pada itu Ahmad Maslan berkata dia tidak akan lupa jasa anak kepada perdana menteri kedua itu, yang telah melantiknya - seorang anak penoreh getah - sebagai timbalan menteri suatu ketika dulu.

“Beliau (Najib) anak perdana menteri (Abdul Razak Hussein). Namun telah melantik saya, anak penoreh getah sebagai timbalan menteri sebelum ini dan tidak akan saya lupa," kata Ahmad yang turut memuat naik gambar Najib ketika melafazkan sumpah mubahalah di Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur dua hari lalu.

'Jasa Najib tak boleh dinafikan’

Sementara itu, naib presiden Umno, Mahdzir Khalid berkata walau apa pun keputusan mahkamah, jasa bekas presiden Umno itu tetap tidak boleh dinafikan.

"Saya secara peribadi merasa amat simpati terhadap Datuk Seri Mohd Najib Razak dan seluruh ahli keluarganya.

"Sebagai rakan seperjuangan dalam Umno, apa sekalipun yang berlaku, jasa dan khidmat bakti beliau kepada Umno dan negara sebelum ini, sama sekali tidak boleh dinafikan.

Justice hurried is justice buried’”adalah satu frasa yang boleh kita hayati bersama dalam situasi ini," katanya di media sosial.

Dalam perkembangan sama, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Shamsul Anuar Nasarah turut melahirkan rasa sedih terhadap keputusan mahkamah persekutuan hari ini.

"Semoga Allah memberikan kekuatan kepada diri dan keluarga Datuk Seri Najib Razak.

"Apa pun dikata. Dia pernah berjasa," kata Shamsul dalam satu hantaran di Facebook.

Pada hantaran yang sama, seorang lagi ahli MKT Umno, Md Alwi Che Ahmad turut mengingatkan sumbangan dan jasa Najib kepada negara ini.

“Bukan pernah, banyak jasanya. Kita sangat hargai itu semua. Semoga Allah beri kekuatan kepadanya,” kata Md Alwi.

Terdahulu Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Najib dalam kes rasuah melibatkan SRC International Sdn Bhd melibatkan dana RM42 juta.

Keputusan itu dibuat secara sebulat suara oleh panel lima hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tengku Mat.

Sehubungan itu, ahli parlimen Pekan itu diperintah menjalani hukuman penjara selma 12 tahun bermula hari ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS