story images
story images
story images
story images

Malaysiakini membawakan laporan secara langsung perbicaraan membabitkan rayuan bekas perdana Menteri, Najib Razak, di sini hari ini.


Najib tiba di Penjara Kajang dengan SUV hitam

6.30 petang: Barisan kereta polis dan kereta biasa dilihat masuk ke Kompleks Penjara Kajang.

Ia termasuk SUV Inokom berwarna hitam dengan nombor pendaftaran WWE5869 yang membawa Najib Razak.

Berdasarkan video yang dimuat naik di media sosial, kenderaan itu tiba pada kira-kira jam 6.20 petang.


Najib ke Penjara Kajang, bukan Sungai Buloh

6.15 petang: Najib Razak tidak akan dihantar ke Penjara Sungai Buloh untuk menjalani hukumannya seperti yang dijangka ramai.

Menurut seorang pembantunya ketika dihubungi Malaysiakini, dia akan dibawa ke Kompleks Penjara Kajang.

Terdahulu, petugas media dilihat berkumpul di luar pintu masuk Penjara Sungai Buloh untuk menunggu ketibaan bekas perdana menteri itu dari Istana KEhakiman.

Setakat ini, pihak berkuasa termasuk Jabatan Penjara belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berkenaan lokasi penjara Najib.


5.41 petang: Kereta yang dipercayai dinaiki Najib Razak dilihat meninggalkan Istana Kehakiman.

Keluarganya termasuk isterinya Rosmah Mansor dan anaknya, Nazifuddin dilihat meninggalkan mahkamah beberapa minit kemudian.


Peguam: Kita berserah kepada Yang Maha Esa

5.17 petang: Peguam Najib, Hisyam Teh Poh Teik berkata pihaknya masih menimbang sama ada untuk memfailkan permohonan agar satu panel hakim Mahkamah Persekutuan yang lain menyemak semula keputusan hari ini atau tidak.

"Kami berserah yang hanya Tuhan Yang Maha Esa dapat memberikan keadilan yang sebenar-benarnya," katanya ketika sidang media di Istana Kehakiman di Putrajaya.


Petugas media, kakitangan penjara mula berkumpul

5 petang: Petugas media dilihat mula berkumpul di luar pintu masuk Penjara Sungai Buloh.

Ia selepas Mahkamah Persekutuan memutuskan menolak rayuan Najib Razak dan mengekalkan sabitan dan hukuman ke atasnya.

Najib dijangka dihantar ke sini untuk menjalani hukuman penjara 12 tahun yang bermula hari ini.

Tidak lama kemudian, sejumlah pegawai penjara mula berkumpul di bilik pengawal keselamatan di pintu masuk penjara.


Air mata di luar mahkamah

4.53 petang: Ketika Najib Razak sudah mengetahui statusnya, sekumpulan penyokong ahli parlimen Pekan itu kelihatan sebak, malah ada yang teresak-esak menangis di luar.

Sementara itu kelihatan juga salah seorang anak Najib, Mohd Nizar, sedang menuju ke dalam Istana Kehakiman.


Zahid, Lokman hadirkan diri

4.41 petang: Najib yang kelihatan berwajah muram masih berada dalam kandang tertuduh. Dia juga berbincang dengan isteri, Rosmah Mansor, dan anak-anaknya.

Turut berada di galeri awam ialah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan bekas anggota majlis kerja tertinggi parti itu, Lokman Noor Adam.


Rayuan Najib ditolak

4.26 petang: Kelima-lima hakim hari ini menolak rayuan dikemukakan Najib Razak.

Kata Tengku Maimun, keputusan itu dicapai sebulat dan bekas perdana menteri berkenaan akan mula menjalani hukuman penjara 12 tahun mulai hari ini.

Sejurus kemudian beberapa anggota polis dilihat menghampiri Najib di kandang tertuduh bagi melaksanakan hukuman penjara ke atasnya.

Sementara itu ahli keluarga Najib termasuk isterinya, Rosmah Mansor, turut kelihatan berada berhampiran ahli parlimen terbabit.


‘Nazlan bertindak betul’

4.22 petang: Kata Tengku Maimun Tuan Mat hakim yang mengendalikan perbicaraan di mahkamah tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali betul semasa membuat keputusan prima facie ke atas Najib Razak dan mengarahkannya membela diri bagi tujuh pertuduhan kes rasuah SRC International Sdn Bhd membabitkan dana bernilai bernilai RM42 juta.


Peluang sudah diberi

4.15 petang: Kata ketua hakim negara, pasukan pembelaan Najib Razak sudah diberi peluang untuk mengemukakan rayuan bagi pihak bekas perdana menteri itu.

Bagaimanapun, kata Tengku Maimun Tengku Mat, peguam bela Najib enggan berbuat demikian.


Menanti keputusan

4.05 petang: Selesai saja Najib Razak membacakan kenyataannya, Tengku Maimun Tengku Mat mula menyampaikan keputusan rayuan kes SRC.

Najib berada di kandang tertuduh sambil mendengar penerangan ketua hakim negara.

Menurut Tengku Maimun tiada isu baru dalam rayuan dikemukakan Najib dalam kesnya kerana ia melibatkan penemuan fakta dan penyelesaian perundangan terdahulu.


Kedudukan Nazlan jadi tumpuan

3.54 petang: Nama hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali sekali lagi dipetik Najib Razak.

Kata ahli parlimen Pekan itu, hakim terbabit berisiko berat sebelah semasa mendengar perbicaraannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini.

Kata Najib, Mohd Nazlan berada pada kedudukan yang hampir pasti untuk menjadi saksi dalam kes 1MDB.

Jika perkara itu diketahuinya lebih awal, kata Najib, hakim terbabit akan dipanggil sebagai saksi.


Perlu masa lebih lama

3.46 petang: Kata Najib Razak dia memerlukan masa yang lebih panjang untuk membolehkan peguamnya bertindak sebagai wakil di mahkamah.

"Jika diberi masa sekurang-kurangnya dua bulan, saya yakin saya boleh mengumpulkan satu pasukan untuk mewakili saya secukupnya – mungkin dengan gabungan peguam saya sebelum ini dan Tuan Haji Hisyam dalam pasukan yang disatukan," katanya.

Tambah Najib, dia berasakan dirinya tidak diberikan keadilan sepenuhnya.


Dakwa tak diberi peluang

3.30 petang: Kata Najib perbicaraan yang adil dan kedaulatan undang-undang seolah-olah hanya suatu ilusi, dan dia "tidak diberi peluang" untuk menjelaskan kedudukannya, malah tidak ditanya pun tentang keadaannya.

Tambah Najib, masa yang lebih lama diperlukan untuk dia bersedia dengan rayuan jenayah besar itu.


Debaran kian kencang

3.29 petang: Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat berkata mahkamah sudah bersedia untuk menyampaikan keputusannya terhadap rayuan utama Najib Razak.

Sejurus kemudian, dari dalam kandang tertuduh, Najib Razak membacakan kenyataannya yang sudah disediakan lebih awal.

Ahli parlimen Pekan itu mengulangi penegasannya bahawa dia berasa tidak diwakili kerana mahkamah sebelum ini menolak tawarannya untuk menangguhkan perbicaraan selama tiga hingga empat bulan.


Tak ada kaitan

3.27 petang: Najib Razak gagal untuk mengetepikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat daripada mendengar rayuannya dalam kes SRC International Sdn Bhd.

Tengku Maimun yang mempengerusikan panel lima hakim terbabit berkata, mereka mendapati tiada sebarang tiada pertalian di antara catatan Facebook suaminya pada 2018 dengan rayuan Najib.

Katanya, hantaran tersebut dimuat naik sebelum Najib didakwa di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.


Prosiding sebelah petang bermula

3.20 petang: Najib Razak memasuki kandang tertuduh dan sejurus kemudian Mahkamah Persekutuan kembali bersidang.


‘Saya dah cuba sedaya upaya’

3:00 petang: Semasa bertemu dengan penyokongnya di luar mahkamah, Najib berkata dia sudah "berusaha sedaya upaya" namun semua permohonan yang dikemukakan, ditolak,

"Jadi saya telah tewas dalam kes ini. Saya tidak mendapat keadilan, saya tidak mendapat seorang peguam untuk mewakili saya dalam tempoh secukupnya untuk buat persediaan," katanya.

Dalam kes ini, kata Najib, tidak ada satu pun permohonannya diterima.

"Sekarang ni kita tunggulah apa-apa saja keputusan. Kalau keputusan buruk pun saya minta maaflah.

"Saya telah berusaha sedaya upaya, yang penting perjuangan kita diteruskan," katanya.


Menunggu keputusan

2.39 petang: Pihak pendakwaan dan pembelaan kini bersedia untuk menyambung prosiding.

Hakim-hakim dijangka akan memaklumkan keputusan mereka mengenai permohonan Najib agar Tengku Maimun Tengku Mat menarik diri daripada panel yang mendengar rayuan bekas perdana menteri itu.


Mahkamah bukan sarkas

12.41 tengah hari: Seorang lagi peguam bela Najib Razak, Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, menggesa agar sesi penghujahan mengenai kewajaran Tengku Maimun Tengku Mat menarik diri disambung esok.

Peguam terbabit berkata demikian semasa diminta memberi hujah tambahan oleh Hisyam Teh Poh Teik.

Bagaimanapun, timbalan pendakwa raya V Sithambaram membantah cadangan tersebut.

"Ini adalah mahkamah undang-undang, bukan sarkas, orang ramai (boleh) keluar masuk, mesti ada peraturan," kata Sithambaram secara lisan.

Difahamkan Firoz Hussein bukanlah peguam bela Najib yang direkodkan dalam rayuan yang berlangsung sekarang.

Tengku Maimun kemudian menolak permohonan tersebut dan kemudian mengarahkan prosiding ditangguhkan untuk sementara bagi membolehkan kelima-lima hakim membuat keputusan mengenai penarikan dirinya.

"Tuan haji (Hisyam) sudah membangkitkan hujahan komprehensif (berhubung tawaran menarik diri)," kata Tengku Maimun.


Rosmah hadir di Istana Kehakiman

1.20 tengah hari: Isteri Najib, Rosmah Mansor, dilihat menghadirkan di Istana Kehakiman di Putrajaya bagi memberi sokongan kepada suaminya.


Beredar kerana gerimis

12:20 tengah hari: Hujan gerimis dan penyokong Najib perlahan-lahan beredar di sebalik semangat membara yang ditunjukkan mereka pagi tadi.


Salah guna proses yang ketara

12.17 tengah hari: V Sithambaram berhujah permohonan agar Tengku Maimun Tuan Mat menarik diri adalah mencemarkan nama baik pentadbiran keadilan negara.

Kata timbalan pendakwa raya itu lagi, ia merupakan penyalahgunaan proses mahkamah yang sangat ketara.

Hal itu kerana, menurut Sithambaram, peguam Najib tidak mendedahkan apa yang wajar sebaliknya menunggu perkembangan kes berkenaan dan mula mengambil langkah tertentu selepas mendapat keadaan tidak memihak kepada mereka.


Boleh bantah berbulan lalu

12.09 tengah hari: Timbalan pendakwa raya V Sithambaram membangkitkan persoalan mengapa peguam Najib Razak tidak membangkitkan isu kemungkinan Tengku Maimun Tuan Mat dibimbangi akan berat sebelah lebih awal.

Kata Sithambaram, keseluruhan permohonan Tengku Maimun agar menarik diri berdasarkan hantaran suami ketua hakim negara itu pada 2018 dibuat dengan niat jahat (mala fide).

Permohonan Najib, katanya, hanya dibuat lewat malam tadi.

“Dua alasan ini (agar Tengku Maimin menarik diri), mereka boleh melakukannya empat tahun lalu atau beberapa bulan lalu.

"Permohonan ini adalah mala fide dan dilakukan dengan sengaja untuk menghalang perkembangan kes ini (rayuan utama SRC)," kata Sithambaram.


Alasan pembelaan Najib

11.45 pagi: Dalam hujah lisannya Hisyam Teh berkata selagi wujud kemungkinan berlaku keputusan berat sebelah, wajar untuk Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat menarik diri daripada mendengar rayuan Najib Razak.

Hisyam memberikan dua asas bagi permohonan itu, iaitu hubungan antara Tengku Maimun dengan suaminya dan dakwaan penglibatan Tengku Maimun dalam acara Walk for Justice untuk hakim perbicaraan kes SRC, Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang dianjurkan Badan Peguam Malaysia.



Shafee tinggalkan mahkamah lepas gagal tangguh kes

11.40 pagi: Peguam Muhammad Shafee Abdullah meninggalkan Mahkamah Persekutuan selepas gagal menangguhkan prosiding hari ini ke esok hari.

Dia memohon penangguhan itu atas alasan memerlukan masa untuk persediaan hujah lisan dalam permohonan meminta ketua hakim negara Tengku Maimun Tuan Mat menarik diri daripada mempengerusi panel hakim.

Sebelum itu, Shafee telah memberitahu mahkamah bahawa dia terlibat dalam simposium di parlimen yang perlu dihadiri.


Hisyam diminta berhujah

11.30 pagi: Mahkamah menolak permohonan Shafee

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tengku Mat kemudian mengarahkan Hisyam menyambung semula hujahan lisannya mengenai permohonan agar dia boleh menarik diri.


Pihak pendakwaan tak setuju tangguh

11.27 pagi: Pihak pendakwaan membantah permohonan dibuat Shafee.

Timbalan Pendakwa Raya V Sithambaram berkata berdasarkan cara pihak tertuduh mengendalikan kes itu - termasuk permohonan agar Tengku Maimun menarik diri - mempunyai unsur mala fide (berniat jahat).

Katanya pihak pembelaan juga kelihatan sengaja mahu melambat-lambatkan perbicaraan.


Shafee pula mohon tangguh

11.20 pagi: Muhammad Shafee Abdullah mengemukakan permohonan agar Mahkamah Persekutuan menangguhkan perbicaraan kepada pagi esok.

Shafee menegaskan, dia hadir adalah sekadar membantu pasukan pembelaan Najib yang kini diketuai Hisyam Teh. Hisyam pula sebelum ini membuat permohonan untuk menarik diri daripada mewakili tertuduh.

Dia juga menafikan pernah cuba melengah-lengahkan prosiding mahkamah.

Dalam hujahnya Shafee berkata penangguhan yang dipohon itu perlu bagi membolehkan dia membuat persediaan mencukupi bagi penghujahan lisan mengenai cubaan Najib mengetepikan Tengku Maimun.


Arah Hisyam mula penghujahan

11.09 pagi: Muhammad Shafee Abdullah akan kembali menjadi sebahagian daripada pasukan pembelaan buat Najib Razak.

Hisyam Teh memberitahu mahkamah, peguam kanan terbabit dalam perjalanan ke situ dan pihaknya memohon agar prosiding ditangguhkan untuk seketika.

Bagaimanapun, Tengku Maimun Tuan Mat tidak membenarkan permohonan tersebut dan mengarahkan Hisyam Teh memulakan penghujahan lisan mengenai permohonan agar dia menarik diri daripada mempengerusikan panel hakim sekarang.

Kata Tengku Maimun, Shafee boleh menyertai pasukan pembelaan Najib sebaik saja dia tiba di situ kemudian.


Perbicaraan bersambung

11.08 pagi: Panel lima orang Mahkamah Persekutuan kembali menyambung prosiding hari ini.

Kelima-lima hakim mengambil tempat masing-masing, manakala Najib berada dalam kandang tertuduh.


Masa untuk teliti permohonan

Tengku Maimun Tengku Mat

10.05 pagi: Tengku Maimun Tuan Mat mengarahkan prosiding dihentikan buat sementara waktu.

Kata ketua hakim negara, keputusan itu diambil bagi membolehkan panel terbabit menerima serta meneliti salinan permohonan yang dikemukakan Najib semalam.


Diarah mula hujah lisan

9.50 pagi: Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat mengarahkan peguam Hisyam Teh Poh Teik untuk memulakan penghujahan lisan mengenai rayuan utama kes SRC, sementara panel menunggu untuk salinan permohonan itu.

Peguam terbabit kemudian mula mengemukakan isu perundangan representasi yang sebelum ini dibangkitkan pihak pendakwaan ketika berhujah untuk menolak rayuan Najib.


Najib minta hakim undur

9.44 pagi: Peguam bela Najib, Hisyam Teh Poh Teik, memberitahu mahkamah, mereka sudah memfailkan permohonan agar Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat, menarik diri daripada mempengerusikan panel hakim yang mendengar kes bekas perdana menteri itu.

Kata Hisyam Teh, permohonan tersebut difailkan pihaknya semalam.

Dalam afidavit Najib, dia merujuk kepada hantaran dibuat suami Tengku Maimun, Zamani Ibrahim, yang didakwnya gembira dengan kekalahan BN.

Najib berhujah apa yang dilakukan Zamani itu berisiko membuat hakim bersikap berat sebelah.


Prosiding bermula

9.40 pagi: Najib memasuki kandang tertuduh dan sidang bersedia untuk disambung kembali.


Menunggu prosiding mula

9.25 pagi: Najib memasuki mahkamah. Dia kemudian mengambil tempat di galeri awam sementara menunggu prosiding dimulakan hakim.

Bekas menteri kewangan itu juga mengisi waktu dengan berbial-bula dengan anaknya, Mohd Nizar, yang hadir untuk memberikan sokongan.


‘Hidup Bossku’ sambut kelibat Najib

9.20 pagi: Tertuduh, Najib Razak, tiba di pekarangan Istana Kehakiman.

Kenderaan membawa Najib itu berhenti seketika untuk membolehkan bekas perdana menteri terbabit keluar dan menyapa penyokongnya. Dia meluangkan masa seketika untuk melampai dan bersalaman dengan mereka.

Orang ramai turut melaungkan "Hidup Bossku!" beberapa kali sebelum Najib masuk semuka ke keretanya dan beredar masuk ke mahkamah.


Sewa bas dari Pekan

8.45 pagi: Ada antara penyokong yang menghadirkan diri hari ini datang dari Pekan, Pahang. Untuk rekod Pekan merupakan kawasan parlimen yang diwakili Najib sejak sekian lama.

Seorang daripada mereka, dikenali sebagai Yasmin, memberitahu sebanyak empat buah bas disewa untuk membawa mereka ke Putrajaya.

Dia juga menyatakan rasa kurang senang dengan apa yang berlaku dalam perbicaraan minggu lalu selepas mahkamah menolak permohonan peguam bela mengemukakan "bukti baru".


Penyokong berkumpul, bertakbir

8.30 pagi: Lebih 100 orang penyokong Najib Razak dilihat berhimpun sambil melaungkan takbir. Suasana itu menyerikan pekarangan luar Istana Kehakiman di Putrajaya.

Mereka turut melaungkan "Bossku, lawan tetap lawan".


Pada Jumaat lalu panel lima hakim mahkamah tertinggi negara ini - yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat - memberi peluang kepada pasukan pembelaan Najib untuk menyediakan hujah lisan hari ini.

Ini menyusuli selepas Hisyam minggu lalu memaklumkan kepada Mahkamah Persekutuan bahawa dia tidak akan mengemukakan hujahan lisan.

Sebaliknya kata Hisyam mereka akan hanya bergantung kepada hujah bertulis dan lisan yang dikemukakan oleh pasukan peguam bela Najib sebelum ini - diketuai oleh Muhammad Shafee Abdullah - semasa membuat permohonan di Mahkamah Rayuan.

Hisyam juga gagal dalam permohonannya untuk mengemukakan bukti baru dalam kes itu, selain tidak berjaya mendapatkan penangguhan perbicaraan utama selama tiga hingga empat bulan supaya pasukan itu boleh membuat persediaan secukupnya untuk kes itu, selain menarik diri daripada mewakili Najib, dan mengosongkan perbicaraan hari ini dan esok.

Minggu lalu, Najib memecat peguamnya dari firma guaman Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners, dan hanya meninggalkan sebahagian daripada pasukan guaman firma Hisyam Teh.

Pihak pendakwaan - diketuai oleh timbalan pendakwa raya V Sithambaram - sudah menggulung hujahan lisan mereka pada Jumaat lalu.

Selain Tengku Maimun, empat lagi yang mendengar permohonan Najib ialah Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Abang Iskandar Abang Hashim, selain hakim kanan P Nallini, Mary Lim Thiam Suan, dan Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur mendapati Najib bersalah atas satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan pecah amanah jenayah dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram.

Bagaimanapun, hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta sementara menunggu rayuan kes itu diselesaikan.

[Laporan lanjut menyusul]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS