Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Isu LGBTQ: Pejabat mufti S'pura terbit nasihat pada umat Islam
Diterbitkan:  Aug 23, 2022 8:15 AM
Dikemaskini: 2:18 AM

GLOBAL | Pejabat Mufti Singapura menerbitkan irsyad atau nasihat bagi masyarakat Islam pada Isnin sehari selepas pemerintahnya mengumumkan pemansuhan undang-undang 'yang menetapkan hubungan sejenis antara lelaki sebagai jenayah.

Menurut pejabat mufti, Islam menekankan pembentukan keluarga menerusi perkahwinan antara lelaki dengan perempuan dan ia merupakan batu asas dalam masyarakat.

"Masyarakat Islam amat prihatin terhadap kesan jangka masa panjang ke atas nilai-nilai dan amalan agama kita, yang disebabkan oleh aktivisme LGBTQ+.

"Lantaran itu, kita perlukan satu panduan yang dapat membantu masyarakat kita memahami isu ini dan menanganinya dengan sebaik mungkin,” kata kenyataan pejabat mufti yang diterbitkan di laman webnya.

Kelmarin, Perdana Menteri Singpura, Lee Hsien Loong mengumumkan negara itu akan memansuhkan undang-undang yang melarang hubungan seks sejenis, sekali gus mengiktiraf kedudukan golongan homoseksual.

Pada masa ini semakin banyak pihak di negara itu menggesa agar Akta 377A yang wujud sejak era kolonial itu dimansuhkan.

Perdana menteri Singapura, Lee Hsien Loong

Bagaimanapun Lee berkata pemerintah akan terus mendukung dan melindungi institusi perkahwinan antara lelaki dan wanita serta tidak bercadang untuk mengubah takrif perkahwinan.

Menurut Lee, Singapura kekal sebagai sebuah masyarakat tradisional, dengan ramai penduduknya masih mahu mengekalkan norma keluarga dan sosial.

Mengulas lanjut pejabat mufti berkata, sejajar dengan pegangan agama Islam, usaha untuk memperkukuhkan institusi perkahwinan antara lelaki dan wanita amat diperlukan.

"Kami menyeru pemerintah untuk mengambil kira pendirian masyarakat Islam ketika ia membincangkan undang-undang yang sesuai untuk memelihara dan memperkuatkan institusi perkahwinan dan keluarga.

"Di sini, kekhuatiran utama kita bukanlah soal perubahan undang-undang itu sendiri, tetapi kesannya terhadap masyarakat," jelasnya.

Menurutnya lagi, dalam konteks masyarakat yang rencam dan terbuka seperti Singapura, usaha untuk membentuk fahaman agama perlu dipergiatkan di kalangan masyarakat Islam.

"Yang penting ialah, kita perlu memastikan masyarakat kita kekal utuh di mana setiap individu dapat berasa aman dan kedudukannya tidak terancam.

“Golongan beragama harus terus bebas untuk mendidik anggota masyarakat mereka tentang kepercayaan dan nilai-nilai agama," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS