Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Pemimpin kanan Umno mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob di Seri Perdana malam ini.

Pertemuan sekitar 8 malam itu berlangsung selepas satu pertemuan ketua-ketua bahagian Umno dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi awal hari ini di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, pada pertemuan di Seri Perdana malam ini, Ahmad Zahid tidak hadir.

Sumber Umno memberitahu Malaysiakini bahawa Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan mewakili Ahmad Zahid bagi pertemuan di Seri Perdana itu.

Bagaimanapun, Malaysiakini tidak dapat memastikan kehadiran Mohamad di Seri Perdana malam ini.

Terdahulu, pada pertemuan di WTCKL, Ismail Sabri yang juga ketua Umno Bera tidak hadir.

Sementara itu, berdasarkan tinjauan di kediaman rasmi perdana menteri itu, hanya kenderaan milik Naib Presiden Umno Mahdzir Khalid dilihat memasuki Seri Perdana sekitar jam 6 petang.

Selepas itu ia disusuli dengan dua kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire, namun idak dapat dipastikan pemiliknya.

Kenderaan dinaiki perdana menteri dilihat meninggalkan Seri Perdana kira-kira jam 9.11 malam.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan pemimpin tertinggi Umno dijangka akan mengadakan pertemuan dengan Ismail Sabri Yaakob di Seri Perdana.

Pertemuan itu dibuat selepas perdana menteri yang juga ketua Umno Bera tidak hadir pada pertemuan tergempar di ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur hari ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS