Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ketua Umno bahagian terima panggilan perjumpaan malam tadi - Jamal

Ketua Umno Sungai Besar, Jamal Md Yunos, memberitahu panggilan untuk pemimpin akar umbi parti itu mengadakan pertemuan hari ini dibuat ibu pejabat parti itu pada malam tadi.

Katanya, panggilan tersebut memang mengejutkan kerana dibuat ketika cakap-cakap mengenai pilihan raya umum (PRU) sedang hangat diperkatakan.

Menurut Jamal, ketua-ketua bahagian Umno juga tertanya-tanya mengapa mereka dipanggil menghadiri pertemuan khas berkenaan namun hadir seperti diminta.

Bagaimanapun, ketika ditemui media di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) petang ini, Jamal berkata, mereka diberikan taklimat mengenai persediaan menghadapi PRU ke-15.

"Tujuan kami dipanggil ialah untuk kesiapsiagaan jentera parti. Ketua-Ketua bahagian perlu memberi segala keperluan dan apa-apa cadangan yang dibawa untuk menghadapi PRU je-15.

"Sebanyak 158 ketua bahagian dari seluruh negara hadir hari ini dan kami sebulat suara memohon untuk PRU ke-15 diadakan segera," katanya.

Terdahulu ketua-ketua bahagian Umno di seluruh negara diminta menghadiri pertemuan khas di ibu pejabat parti itu di WTC KL pagi ini.

Ia menjadi semakin menarik perhatian apabila sejumlah pemimpin atasan Umno dilihat menghadirkan diri.

Antara mereka ialah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi; timbalannya, Mohamad Hasan, dan Mohamed Khaled Nordin (naib presiden).

Pengerusi Umno Sabah, Bung Moktar Radin, pula memberitahu pertemuan tersebut ditangguhkan seketika sebelum disambung jam 5.30 petang nanti untuk memberi ruang kepada Ahmad Zahid hadir di mahkamah.

Isu dipertimbangan PM

Sementara itu, Jamal mengesahkan bahawa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tidak didesak untuk mengadakan PRU dengan segera.

"Tak berlaku. Kami hanya diberi taklimat. Tak ada desakan.

"Berkenaan bila nak adakan PRU dibincangkan oleh top 5 (pucuk pimpinan). Kami dah lama tak jumpa top 5, walaupun setiausaha agung panggil secara mengejut ingatkan esok bubar. Rupanya tak ada apa,” katanya.

Dia jugamengesahkan Ismail Sabri yang juga ketua Umno Bera tidak hadir.

Sementara itu beberapa sumber memberitahu tidak semua ketua bahagian Umno hadir di hari ini.

Antara mereka ialah Ketua Umno Keterah, Annuar Musa, dan Shahidan Kassim (Arau). Untuk rekod Annuar merupakan Menteri Komunikasi dan Multimedia, manakala Shahidan Menteri Wilayah Persekutuan.

Difahamkan Shahidan berlepas ke Perlis tengah hari tadi, dan Annuar juga berada di negeri tersebut. Kedua-dua mereka dipercayai menghadiri sebuah majlis yang sama.

Pertemuan tersebut juga diadakan sehari selepas media menyiarkan pandangan Ismail Sabri mengenai pertimbangan yang perlu diambil kira olehnya sebelum boleh menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mencadangkan pembubaran parlimen.

Menurut laporan Malaysiakini, antara faktor yang dipertimbangkan oleh ahli parlimen Bera itu ialah isu kegagalan projek kapal tempur pesisir (LCS) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS