Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hilang wang pengeluaran khas KWSP, mangsa tuntut keadilan

Kecewa dan sedih dengan pihak bank dan pihak berkuasa yang seolah-olah tidak mempedulikan kehilangan wang pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), mangsa penipuan yang hanya ingin dikenali sebagai Cheong tampil ke ibu pejabat PKR hari ini untuk meluahkan rasa tidak puas hatinya.

Cheong yang hadir dalam satu sidang media berkaitan isu itu hari ini meminta pihak bank dan pihak berkuasa bertanggungjawab atas jenayah scammer yang semakin berleluasa di negara ini.

Menurut lelaki yang bekerja di bahagian jualan itu nasib tidak menyebelahinya apabila dia kehilangan RM9,999 daripada RM10,000 jumlah pengeluaran khas KWSP itu, melalui tiga transaksi atas talian.

Dua daripadanya ‘lesap’ pada hari sama wang KWSP Cheong dikreditkan ke akaunnya, 21 April melalui Hong Leong Bank iaitu sebanyak RM8,480 dan RM200.

Manakala satu lagi melalui transaksi TnGo e-wallet iaitu RM1,319 pada 23 April.

Transaksi tersebut dilakukan atas nama akaun yang Tan Sick Yee.

Cheong telah menghubungi pihak bank dan melaporkannya kepada pihak polis pada hari kejadian 21 April tetapi wangnya tidak dapat diselamatkan.

Katanya, bank hanya dapat memulangkan wangnya yang dicuri pada cubaan transaksi ketiga, iaitu sebanyak RM1,319.

“Apa yang menghairankan, saya tidak pernah menggunakan transaksi atas talian.

“Saya mohon untuk keluarkan duit tu (KWSP) untuk simpanan waktu kecemasan. Sebab walaupun saya masih ada pekerjaan, tapi saya sedikit terjejas dengan perintah kawalan pergerakan (PKP) sebelum ini.

“Tapi masa saya keluarkan duit tu saya terkejut sebab pada masa dan hari yang sama ia dikeluarkan secara serentak dan agak keliru,” kata Cheong melalui penterjemah yang turut bersamanya.

Katanya, dia sudah dimaklumkan terlebih dahulu tarikh wang KWSP yang akan dikreditkan ke akaunnya tetapi berasa kecewa dan sedih apabila ia hilang begitu sahaja.

Ketelusan data peribadi

Mengulas lanjut, Pengarah Komunikasi PKR Lee Chean Chung mempersoallan ketelusan data peribadi pelanggan bank.

“Proses keseluruhannya penuh dengan keraguan dan ketidaktelusan,” kata Lee.

Katanya, pendedahan kes itu amat mengejutkan kerana pengeluaran simpanan KWSP juga boleh dilesapkan oleh sindiket penipuan kewangan.

“Jika tabung simpanan seumur hidup rakyat dalam KWSP untuk tujuan persaraan, dan caruman Tabung Haji untuk menunaikan haji juga boleh dilesapkan, apatah lagi simpanan lain dalam bank dan e-wallet?” soalnya.

Dia turut menggesa menteri yang bertanggungjawab memandang serius isu ini memandangkan kes jenayah scammer di kalangan rakyat semakin tidak terkawal.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS