Ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional, Faiz Fadzil, berkata tindakan mendakwa Mahkamah Persekutuan enggan mengetahui "bukti baru" yang ingin dibawa Najib Razak adalah suatu tohmahan serius.
Kata Faiz, panel lima hakim mahkamah terbabit pada minggu lalu membuat keputusan menolak permohonan pihak Najib kerana mendapati bukti berkenaan tidak memenuhi keperluan undang-undang serta contoh duluan yang dibawa mereka.
Bagaimanapun katanya pemimpin Umno mengolah kejadian itu seolah-olah para hakim terbabit sengaja menolak permohonan pembelaan Najib dan tindakan tersebut boleh menjurus kepada menghina mahkamah.
"Sepatutnya polis menyiasat pemimpin-pemimpin Umno yang berkenaan kerana menghina serta merendahkan kredibiliti Mahkamah Persekutuan, sekali gus institusi kehakiman negara," katanya hari ini.
Antara pemimpin terbabit, kata Faiz, termasuk Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, dan ketua pemuda parti berkenaan, Asyraf Wajdi Dusuki.
Faiz yang memiliki latar belakang bidang guaman menambah sikap ditunjukkan Umno itu menjadikan parti terbabit tidak lagi menjunjung prinsip integriti, keadilan serta tadbir urus yang baik.
"Bagi mereka, Umno dianggap berada di atas undang-undang," katanya.
Pada masa sama, Faiz juga menegaskan, sumpah yang dibaca Najib di Masjid Kampung Baru malam tadi tidak memberi sebarang kesan kepada perjalanan kesnya di Mahkamah Persekutuan.
"Malah, sumpah laknat juga tiada dalam perundangan Islam
"Najib sepatutnya memperjuangkan pembelaan kes di mahkamah, bukan pentas agama untuk mengaburi kes korupsinya," kata Adun Permatang Pasir itu lagi.
Pada 16 Ogos lalu hakim yang mendengar permohonan ahli parlimen Pekan itu sebulat suara menolak cubaan pasukan pembelaan untuk mengemukakan “bukti baru” dalam kes rasuah RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat, mempengerusikan panel berkenaan.
Empat yang lain ialah Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Abang Iskandar Abang Hashim; serta hakim Mahkamah Persekutuan, P Nallini, Mary Lim Thiam Suan dan Mohamad Zabidin Mohd Diah.
Mereka berpendapat bukti tersebut tidak relevan dengan kes Najib, selain pembelaan juga gagal menunjukkan bahawa hakim perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, mempunyai konflik kepentingan.