Kerajaan Selangor memantau rapat situasi terkini berhubung paras air di beberapa sungai utama serta kadar taburan hujan semasa di negeri itu.
Menerusi hantaran di Facebooknya, Menteri Besar Amirudin Shari, berkata semua agensi berkaitan sentiasa dalam keadaan bersiap sedia.
“Saya turut terima laporan banjir kilat di sekitar Taman Seri Muda, Shah Alam. Pintu air telah dibuka sebagai usaha untuk mempercepatkan air surut,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Izham Hashim, menerusi Facebooknya, berkata air mula surut di Taman Seri Muda dan sekitarnya.
“Insiden ini berlaku akibat paras air yang tinggi di Sungai Rasau serta situasi air mati yang melambatkan aliran air keluar ke Sungai Rasau,” katanya.
Beliau berkata pihaknya mengarahkan Jabatan Pengairan dan Saliran mengaktifkan sistem pam dengan segera serta membuka pintu pam.
Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang melanda seluruh Selangor sehingga jam 9 malam ini.
- Bernama