Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Taman Sri Muda dilanda banjir kilat lagi
Diterbitkan:  Aug 20, 2022 9:36 PM
Dikemaskini: 1:36 PM

Banjir kilat sekali lagi melanda Taman Sri Muda di Selangor berikutan hujan lebat hampir sepanjang petang hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Mohammad Hamdan Wahid berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai banjir sekitar 5.05 petang hari ini di Jalan Harapan, Jalan Waja, Jalan Makmur dan Jalan Mahir di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam.

Sehingga jam 6.30 petang, air banjir telah surut sepenuhnya di kawasan itu dan hujan lebat telah berhenti.

“Paras air sungai Klang adalah selamat dan air sudah mula surut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bomba sebelum itu menggerakkan lima bot penyelamat, satu kenderaan Fire Rescue Tender (FRS), satu kenderaan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) bersama 24 anggota bomba dan tiga pegawai kanan ke tempat kejadian.

Hamdan berkata setakat ini, tiada sebarang pemindahan dan memberi jaminan keadaan di Taman Sri Muda masih terkawal.

“Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor bersedia sepenuhnya di Taman Sri Muda untuk menghadapi sebarang situasi banjir sehingga keadaan kembali normal.

“Penduduk sekitar Taman Sri Muda digesa tidak panik atau terpengaruh dengan hantaran tular di media sosial.

“Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor meminta kerjasama penduduk di kawasan itu untuk mematuhi arahan keselamatan daripada pihak berkuasa sekiranya berlaku kejadian banjir di Taman Sri Muda,” katanya.

Taman Sri Muda merupakan antara kawasan yang paling teruk terjejas semasa banjir Disember tahun lepas.

Banjir pada Disember lalu mengakibatkan sekurang-kurangnya 15 terkorban dan menyebabkan kerugian berjuta-juta ringgit kepada keluarga dan perniagaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS