Pendakwaan di mahkamah melibatkan beberapa pemimpin pembangkang kerana terlibat dalam beberapa perhimpunan aman baru baru ini telah menimbulkan beberapa tanda tanya kerana perhimpunan secara aman sepatutnya dibenarkan.
Tetapi apa yang amat membimbangkan ialah mereka yang didakwa semuanya daripada golongan anak muda termasuk ketua pemuda parti Amanah, Hasbie Muda dan beberapa mahasiswa, walaupun mereka yang lebih dewasa pun turut terlibat.
Ia kelihatan seperti tindakan pendakwaan terpilih yang menyasarkan anak muda, bertujuan untuk mematahkan semangat orang muda yang menjadi kekhuathiran kerajaan hari ini.
Terdahulu, seorang lagi pemimpin anak muda, Syed Sadiq telah pun didakwa dan kesnya sedang berjalan di mahkamah.
Kalau inilah trend serta perancangan kerajaan hari ini untuk mematahkan semangat dan mematahkan kemajuan pimpinan anak muda, masa depan anak muda tergugat dan nasib Malaysia amatlah gelap.
Pimpinan Umno-BN pun ada menyuarakan supaya pimpinan lama memberi peluang serta laluan kepada anak muda dari kalangan mereka.
Berapa lama lagikah mereka masih mahu mengharapkan pemimpin wakil rakyat lama seperti Yang Berhormat dari Pasir Salak yang banyak kontroversi untuk menjadi pemimpin mereka?
Malangnya inilah yang masih diamalkan, pemimpin lama yang korup dan tidak beretika terus memegang kuasa untuk kepentingan diri.
Selama itulah kita akan terus mendengar janji kononnya ada cadangan Suruhanjaya Diraja ditubuhkan untuk menyiasat skandal kapal LCS berharga RM9 billion, sementara dalam masa yang sama skandal baru yang hampir sama dalam pembelian Meriam Howitzer di mana cadangan serta keperluan teknikal dan cara tender Angkatan Tentera Malaysia tidak ditepati.
Tiada lagikah etika atau akauntabiliti dalam nilai kerajaan kita hari ini ?
Apabila pemimpin politik dalam kalangan mereka didapati bersalah di Mahkamah, sistem kehakiman dan hakim sendiri diserang tanpa segan silu.
Anak muda pemimpin baru digugat, ditangkap dan didakwa atas isu remeh dan kecil untuk menutup suara dan mematahkan semangat mereka.
Generasi masa hadapan bagaimanakah akan muncul dan wujud untuk negara dalam suasana budaya toksik tanpa etika dan amanah hari ini ?
Hari ini Syed Sadiq dan Hasbie Muda menjadi mangsa dianiaya pemerintah.
Esok lusa Ahmad, Chong dan Mutu pula akan menjadi sasaran.
Yang cerdik, beretika dan berani akan terus disasar dan didakwa, sementara Pak turut, yang tidak beretika dan yang rakus akan diangkat menjadi "pemimpin" negara yang tidak bermaruah.
Tidak beberapa hari lagi kita akan menyambut hari merdeka tetapi merdekakah minda anak muda untuk berfikir demi kebaikan negara?
Kita patut bertanya pada diri sendiri, merdekakah kita jika kebebasan berfikir yang benar dan beretika tidak digalakkan malah dilarang?
Merdekakah minda anak muda kita jika berjuang berdemontrasi aman membantah harga barang naik menjadi kesalahan dan diheret ke mahkamah?
Jika kebebasan suara anak muda terus dikongkong dan mereka terus diheret ke mahkamah kerana membela nasib rakyat, tiada masa hadapan untuk mereka dan apakah erti laungan "merdeka" pada 31 Ogos nanti?
Bangkitlah anak muda.
Bangkitlah rakyat semua untuk negara ini yang kita ingin miliki secara bermaruah.
RAJA BAHRIN SHAH ialah Pengerusi Pakatan Harapan Terengganu Pengerusi AMANAH Terengganu.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.