Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hashim gesa Umno tak larang kepimpinan negeri kerjasama dengan PAS
Diterbitkan:  Aug 20, 2022 11:51 AM
Dikemaskini: 3:51 AM

Umno tidak seharusnya melarang kepimpinan parti itu di peringkat bahagian dan negeri daripada bekerjasama dengan PAS menerusi Muafakat Nasional (MN) pada PRU akan datang, kata Mursyidul Am PAS Hashim Jasin.

Hashim mendakwa ada Umno negeri dan bahagian yang mahu bekerjasama dengan PAS pada PRU15.

“Kita tidak boleh halang Umno, terpulang kepada mereka (tidak memberi sebarang autonomi kepada kepimpinan negeri bekerjasama). Bagi saya, tidak sepatutnya Umno halang negeri atau bahagian hendak bekerjasama demi penyatuan ummah.

“Apa jua peraturan atau ketetapan yang dibuat, jangan ketepikan perpaduan ummah. Saya harap Umno fikir balik mengenainya. Kita berpeluang menang khususnya di negeri seperti Selangor dan lain-lain jika bekerjasama,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia.

Semalam, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan dilaporkan berkata Umno negeri tiada kuasa untuk menentukan kerjasama dengan PAS mahupun Bersatu.

Dia berkata tiada negeri atau bahagian yang diberi kuasa autonomi untuk memutuskan perkara itu, dan ketetapan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2021 untuk bergerak secara solo melibatkan keseluruhan parti.

Terdahulu, Umno Selangor dilaporkan berharap pimpinan tertinggi parti memberi autonomi untuk meneruskan kerjasama dengan PAS menerusi Muafakat Nasional (MN).

Pengerusi Umno Selangor Noh Omar berkata ini kerana kerjasama antara Umno dan PAS di negeri itu lebih berkesan.

Umno dan PAS memeterai MN pada September 2019.

Kerjasama itu dilihat berjalan lancar sehinggalah PAS bertindak untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Bersatu, parti yang berseteru dengan Umno.

Hubungan itu kian parah selepas kedua-dua parti bertembung dalam PRN Melaka dan Johor.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS