Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jika See ada maruah, letak jawatan Adun Batu Lintang - PSB
Diterbitkan:  Aug 18, 2022 7:27 PM
Dikemaskini: 11:27 AM

Parti Sarawak Bersatu (PSB) menggesa Adun Batu Lintang See Chee How supaya "bertindak secara bermaruah" dengan meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada pilihan raya kecil.

Dalam satu kenyataan hari ini, PSB berkata See telah menandatangani ikrar kepada parti itu dengan berjanji meletakkan jawatan sebagai Adun sekiranya dia berpaling tadah.

“Kami dengan jelas memaklumkan kepada setiap bakal calon bahawa, jika niat mereka untuk ‘lompat kapal’ selepas menang sebagai calon PSB, mereka tidak seharusnya menerima pencalonan dan tidak harus menandatangani ikrar dan perjanjian.

"Lebih-lebih lagi berbanding mana-mana calon lain, See sebagai peguam kanan patut menghargai dan memahami apa yang ditandatangani dan apa yang dibuat. Dia menandatanganinya di hadapan beberapa orang lain tanpa syarat," kata parti itu.

Disember lalu, See memenangi kali ketiga kerusi DUN Batu Lintang sebagai calon PSB.

Bagaimanapun, dia membuat keputusan keluar parti itu minggu lepas.

Selepas keluar parti, See berkata ikrar bertulis kepada parti itu tidak selari dengan Perkara 17 perlembagaan negeri Sarawak, yang antara lain bertujuan menghalang wakil rakyatnya daripada berpaling tadah.

Sementara itu, PSB membidas See kerana mendakwa dia keluar parti itu untuk "menjauhkan diri daripada politik kepartian".

PSB berkata ketika menjadi ahli parti itu, See secara automatik berada dalam majlis presiden kerana menjadi Adun.

"See terlibat dalam banyak keputusan PSB termasuk temu duga dan pemilihan calon untuk pilihan raya. Pada setiap masa, See diberi penghormatan sebagai Adun dan bekas pemimpin PKR.

"Tidak pernah ada sebarang rungutan mengenai 'politik kepartian' daripada See. Jadi, kami terkejut kerana dia memilih untuk menggunakan 'politik parti' sebagai alasan untuk keluar daripada PSB selepas memenangi kerusi sebagai calon PSB," kata parti itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS