Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Demo harga barang: Ketua pemuda Amanah, pelajar UIA diheret ke mahkamah

Tiga individu didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini, berhubung perhimpunan ‘Turun Malaysia’ yang membantah kenaikan harga barang, bulan lalu.

Ketiga-tiga individu terbabit adalah Ketua Pemuda Amanah Hasbie Muda, Ketua Pemuda PKR Batu Muhammad Sabda Suluh Lestari Yahya dan Presiden Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Aliff Naif dan didakwa mengikut Akta Perhimpunan Aman (PAA) 2012.

Hasbie didakwa mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 yang membawa hukuman denda sehingga RM10,000, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan itu dibuat berkaitan demonstrasi Turunkan Harga Barang di Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur,  pada 1 Julai.

Hasbie Muda

Kira-kira 100 orang hadir dalam protes itu yang berlangsung kira-kira sejam selepas solat Jumaat.

Himpunan Bantah Kenaikan Harga Barang yang rata-ratanya dikendalikan oleh pemimpin Amanah mengemukakan tiga tuntutan kepada kerajaan dalam isu menangani kenaikan harga barang.

Tuntutan tersebut adalah mengembalikan semula subsidi makanan, menghapuskan permit import (AP) bekalan makanan import dan memanggil sidang khas parlimen untuk membincangkan masalah bekalan makanan.

Majistret Wong Chai Sia menetapkan jaminan terhadap Hasbie sebanyak RM3,000, dengan sebutan kes seterusnya pada 22 Sept.

Hasbie diwakili peguam Amanah Faiz Fadzil dan Fadhli Umar manakala timbalan pendakwa raya Kamarul Aris mengetuai pendakwaan.

Hadir sama pada hari perbicaraan tersebut adalah Presiden Amanah, Mohamad Sabu, timbalan presiden Salahuddin Ayub dan naib presiden Adly Zaharibagi menyatakan sokongan moral.

Sementara itu, Muhammad Sabda yang didakwa di bilik mahkamah berasingan didakwa berikutan protes kenaikan harga barang pada 9 Julai lalu di kompleks beli-belah Sogo di Kuala Lumpur.

Muhammad Sabda diwakili peguam Bryan Ng, manakala timbalan pendakwa raya kes tersebut adalah Mohd Radzi Shah.

Muhammad Sabda dibenarkan dikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin oleh majistret Azahra Tun Arifin, dengan sebutan kes seterusnya pada 28 Sept 2022.

Sementara itu, Aliff yang terlibat dalam perhimpunan #Turunpada 23 Julai lalu diwakili peguam Asheeq Ali.

Manakala Timbalan pendakwa raya ialah Muhamad Zuraidi Zulkifli.

Tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin oleh majistret S Mageswary dan sebutan kes pada 21 Sept 2022.

Lebih 30 individu telah disoal siasat oleh polis berhubung demonstrasi Turun setakat ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS