Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Ganja perubatan: Malaysia mahu belajar dari Thailand - Sumber KKM

Malaysia merancang untuk belajar daripada dasar ganja negara jiran Thailand dalam usahanya menghalalkan penggunaan dadah itu bagi tujuan perubatan, kata seorang pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) pada hari Rabu.

Di Malaysia pemilikan ganja boleh membawa hukuman mati.

Komen itu dibuat selepas Menteri Kesihatan Awam Thai Anutin Charnvirakul berkata dia akan bertemu rakan sejawatannya dari Malaysia semasa mesyuarat menteri kesihatan APEC minggu depan di mana Thailand akan membentangkan usahanya dalam menghalalkan ganja perubatan.

Dengan tradisi menggunakan ganja untuk menenangkan kesakitan dan keletihan, Thailand menghalalkan ganja perubatan pada 2018, dan pada Jun lalu menjadi negara Asia pertama yang menghalalkan penanaman ganja dan penggunaannya dalam makanan dan minuman.

Menteri Kesihatan Awam Thai Anutin Charnvirakul (tengah) ketika program agihan pohon ganja kepada rakyat negara jiran itu.

"Kami sedang membangunkan rangka kerja kami sendiri untuk penggunaan ganja bagi tujuan perubatan, dan ingin belajar dari Thailand," kata pegawai Malaysia itu kepada Reuters dengan syarat enggan dinamakan.

Kerajaan Malaysia berminat untuk belajar daripada rangka kerja Thailand bertujuan bagi kegunaan perubatan, tambahnya.

Penanaman dan penggunaan ganja secara rekreasi kini haram di Malaysia, dan undang-undang memperuntukkan hukuman mati mandatori kera memiliki lebih daripada 200 gram dadah itu.

Tetapi Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata import dan penggunaan ganja perubatan di bawah preskripsi doktor adalah dibenarkan jika ia berdaftar dan dilesenkan dengan pihak berkuasa kawalan dadah.

Pada April, Khairy berkata kerajaan mengalu-alukan kajian klinikal untuk kegunaan perubatan terhadap cannabidiol, bahan kimia dalam kanabis yang tidak memberikan kesan 'khayal' kepada pengguna.

Bulan lalu, agensi berita kerajaan Bernama melaporkan Kementerian Kesihatan menyasarkan untuk mula mendaftarkan beberapa produk cannabidiol tahun depan selepas mengkaji keselamatannya, walaupun kelulusan untuk penanaman masih lagi jauh.

Tiada komen segera daripada menteri undang-undang Malaysia.

Menteri Kesihatan Awam Thai Anutin Charnvirakul (gambar, bawah), pemacu utama di sebalik pengesahan negaranya terhadap ganja untuk tujuan perubatan, menganggarkan industri itu boleh bernilai lebih daripada AS$3 bilion dalam tempoh lima tahun.

"Topik perbincangan adalah mengenai cara bersama-sama memajukan dasar seperti ini untuk mencipta manfaat, daripada segi ekonomi dan perubatan," katanya pada sidang akhbar di Bangkok.

“Kami mahu semua orang mengiktiraf manfaat dalam tumbuhan ganja ini,” katanya pada Rabu.

"Semakin ramai orang berminat dalam bidang ini, lebih banyak pembangunan dan penyelidikan akan dicipta."

Thailand berkata polisi ganjanya meliputi tujuan perubatan dan kesihatan tetapi bukan penggunaan rekreasi.

Ini walaupun undang-undang yang dikeluarkan dengan tergesa-gesa boleh mewujudkan ruang untuk kegunaan sedemikian.

(Laporan oleh Mei Mei Chu di Kuala Lumpur dan Chayut Setboonsarg di Bangkok; Suntingan oleh Clarence Fernandez)

- Reuters


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS