mk-logo
Berita
Keputusan mahkamah rencatkan hak Najib - Asyraf
Diterbitkan:  Aug 17, 2022 4:03 PM
Dikemaskini: 8:14 AM

Keputusan Mahkamah Persekutuan yang tidak membenarkan permohonan Najib Razak untuk mengemukakan bukti tambahan yang dikaitkan dengan kes rasuah SRC International bernilai RM42 juta dilihat merencatkan hak tertuduh, kata Pemuda Umno.

Ketuanya, Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sekiranya bukti-bukti itu tidak kuat sekalipun, panel panel lima hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat sepatutnya membenarkan peguam bekas perdana menteri itu mengemukakannya terlebih dahulu.

“Tidakkah mahkamah mahu tahu apakah bukti itu? Tidakkah kita semua juga mahu tahu apa yang sebenar-benarnya berlaku?

“Dan pada akhirnya jika bukti-bukti ini mahu ditolak juga, maka tolaklah atas sebab kelemahan bukti ini sendiri. Bukannya atas sebab teknikal yang sebenarnya boleh ditimbang atas budi bicara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Semalam, Mahkamah Persekutuan memberikan "tamparan berganda" ke atas Najib dengan menolak dua permohonannya, berkaitan kes rasuah SRC International.

Permohonan pertama Najib adalah untuk mengemukakan bukti baru untuk kes itu. Najib dan peguamnya mendakwa bukti itu menunjukkan hakim perbicaraan, Mohd Nazlan Mohd Ghazali ada konflik kepentingan.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, dia sebenarnya merasa amat bimbang dengan persepsi rakyat terhadap institusi keadilan.

“Tuntutan Pemuda Umno sebelum ini bagi mewujudkan tribunal khas bagi menyiasat konflik kepentingan Hakim Nazlan juga bagaikan dipandang sepi pihak berkenaan. Sedangkan kebebasan hakim itu adalah asas kepada wujudnya keadilan,” katanya.

Ketua Pemuda Umno itu berkata dia bersetuju dengan ketua hakim negara yang berkata "justice delayed is justice denied" tetapi juga menyebut, “justice rushed is justice crushed” sambil mengingatkan bahawa Islam meletakkan keadilan pada tempat yang tertinggi, baik kepada hak mangsa atau hak tertuduh itu sendiri.

Justeru, katanya, setiap orang seharusnya diberikan hak seluas-luasnya untuk membela diri.

“Kita sudah tentu tidak mahu persepsi buruk rakyat terhadap sistem kehakiman seperti dekad 80an dan 90an berulang.

“Saya percaya akan ada hikmah yang Allah akan datangkan. Buat Najib, sekiranya ini adalah ujian maka percayalah Dia tidak pernah menguji hambaNya melainkan sesuai dengan kemampuan mereka.

“Apa juga yang berlaku, rakyat pasti tidak akan lupa siapa yang telah membawa negara ini ke satu aras yang tidak pernah tercapai sebelumnya.

“Kami tidak akan lupa!” katanya lagi.

Semalam, Mahkamah Persekutuan juga menolak permohonan peguam Najib untuk menangguhkan pendengaran rayuan utama selama tiga ke empat bulan antaranya kerana mereka - selaku pasukan peguam baru - memerlukan masa yang cukup untuk menyediakan hujah.

Pada 26 Julai, Najib menggugurkan pasukan peguam diketuai Muhammad Shafee Abdullah dan melantik Messrs Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners untuk mewakilinya.

Ini merupakan rayuan bekas perdana menteri itu yang terakhir, selepas panel tiga hakim Mahkamah Rayuan pada 8 Disember lalu mengekalkan sabitan ahli parlimen Pekan itu, hukuman 12 tahun penjara, serta denda RM210 juta yang dikenakan terhadapnya oleh Hakim Nazlan pada 28 Julai 2020.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS