Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'PM macam paksa kakitangan awam bela k'jaan gagal, parti korup'

Pembangkang melihat tindakan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang meminta penjawat awam "mempertahankan kerajaan" daripada dakwaan dan serta fitnah seolah-olah paksaan agar menyokong parti pemerintah.

Ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional, Faiz Fadzil, berkata perdana menteri sepatutnya tidak ada hak mengarahkan pegawai kerajaan agar mempertahan kerajaan yang dilihat ramai sebagai korup.

Pada masa sama, kata Faiz, perdana menteri juga sepatutnya tertakluk kepada kritikan jika ada mana-mana keputusan yang diambil kerajaan didapati merugikan rakyat.

"Jika kamu (perdana menteri) gagal, pegawai kerajaan juga berhak mengkritik. Jangan jadikan pegawai kerajaan sebagai perisai melindungi kegagalan perdana menteri," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Tambah Adun Permatang Pasir itu lagi, sesuatu rungutan dan kritikan yang dibangkitkan rakyat bukanlah fitnah, malah sesetengahnya terbukti benar bersama fakta berkaitan.

Misalnya, kata Faiz, kecaman rakyat terhadap kegagalan kerajaan mengawal kenaikan harga barang serta kos sara hidup.

"Apabila rakyat menuntut kerajaan mengambil langkah proaktif agar menurunkan harga barang, antara lain dengan mengekalkan subsidi tertentu, ia adalah fakta.

"Yang turut terkesan akibat masalah itu juga adalah penjawat awam.

"Justeru mengarut untuk perdana menteri mendesak penjawat awam mempertahankan dia dan kerajaan," katanya.

Bawa pembaharuan pentadbiran

Faiz berkata demikian ketika diminta mengulas laporan berhubung kenyataan dibuat Ismail Sabri Yaakob dalam perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya semalam.

Malaysiakini melaporkan Ismail Sabri sebagai berkata kerajaan pimpinannya adalah kerajaan bersama yang menekankan konsep Keluarga Malaysia, justeru penjawat awam wajar mempertahankan ia daripada pelbagai dakwaan dan fitnah kononnya pentadbiran itu gagal.

Katanya penjawat awam wajar mempertahankan kerajaan dengan melihat beliau sebagai ketua kerajaan dan bukannya mempertahankan parti politik.

Faiz berkata perdana menteri tidak berada di atas undang-undang dan sesuatu tindakan yang tidak betul sudah tentu memberi kesan kepada parti politik yang disertainya.

"Lihat sahaja kes LCS (kapal tempur pesisir), bukankah berlaku ketika zaman BN dan menteri terlibat juga daripada BN. Bagaimana penjawat awam boleh diseru agar kerajaan dipertahankan?" katanya.

Dakwa Faiz sebenarnya Ismail Sabri tidak memahami konsep demokrasi serta gagal membezakan bidang kuasa dan fungsi di antara kerajaan dan parti.

"Jika begini sikapnya, Ismail Sabri adalah perdana menteri paling teruk dalam sejarah negara kerana menggunakan pegawai kerajaan untuk menjaga kepentingan politik," ujarnya.

Tambah Faiz tindakan Ismail Sabri itu berbeza dengan pendekatan kerajaan Pakatan Harapan yang banyak memberi kebebasan kepada penjawat awam termasuk untuk aktif dalam politik.

"PH juga tidak memaksa mereka mempertahankan tindakan politik kerajaan ketika itu.

"Inilah pembaharuan demokrasi yang telah dibuat oleh PH," jelasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS