Kita hari ini hidup dalam ekonomi kapitalisme. Suka atau tidak suka, inilah ekonomi kita. Ekonomi kapitalisme beroperasi melalui konsumerisme. Kita kena membeli atau membayar untuk mendapatkan barangan.
Besar kuasa beli kita, banyaklah barangan yang kita dapat masukkan ke dalam troli. Kecil kuasa beli kita, maka tidak perlulah kita gunakan troli. Cukup hanya mengambil dengan tangan dan bawakan ke kaunter. Ini adalah hukum dalam ekonomi kapitalisme.
Sementara ekonomi komunisme dan sosialisme dibenci di merata-rata, kerana sifatnya yang selalunya authoritarian, ditetapkan, diaturkan dan dirancang. Ada pro dan kontra pada sifat ekonomi komunisme dan sosialisme ini.
Barangan tidak dihasilkan untuk kemahuan, tetapi lebih kepada keperluan. Dan barangan yang tidak perlu, tidak perlu dihasilkan atau tidak diberi keutamaan untuk dihasilkan.
Kerana itu di China misalnya, rejim komunis di sana lebih berminat menghasilkan kereta api laju yang boleh dinaiki semua orang berbanding menghasilkan kereta mewah berlainan saiz dan bentuk yang hanya akan menyesakkan jalan raya dan mencemarkan alam sekitar.
Atau misalnya di Cuba, rejim Castro lebih berminat menghasilkan ramai doktor berbanding lain-lain yang kurang utama. Ada keseragaman pada pola ekonomi komunisme dan sosialisme. Tetapi masyarakat yang bertunjangkan kebebasan dan pilihan individu yang mahu lari dari keseragaman, pasti tidak mahukannya.
Maka kerana itu umat manusia masih hanyut dalam lembah ekonomi kapitalisme, yang bernafaskan konsumerisme.
Kita boleh lari dari konsumerisme, atau mengutuk konsumerisme sepuas-puas hati dan setiap hari, tetapi kita tetap memerlukan barang atau berus gigi dan ubat gigi dan sabun mandi sekurang-kurangnya.
Dan barang-barang itu hanya akan sampai kepada kita melalui konsumerisme. Membeli atau membayar, barulah barangan itu akan sampai kepada kita.
Dan dalam persaingan di arena konsumerisme, penggunaan agama, ‘merekrut’ Allah dan Rasul amatlah tidak bermoral dan mempunyai etika sama sekali. Contohnya seperti sabun baju yang menggunakan cap Allah atau Islam atau dijampi dengan bacaan 30 juzuk.
Bill Gates, bapa kapitalis perisian itu pasti tersengih melihat cara konsumerisme di kalangan masyarakat Islam, yang menggunakan agama untuk melariskan barangan.
Menunggang sentimen
Baru-baru ini tular di Tiktok tentang Malakat Mall di Cyberjaya yang menjadi selengang-lengang alam. Dilaporkan bunyi unggas pun tidak kedengaran, apatah lagi kokokan ayam bersahut-sahutan.
Walaupun menggunakan budak-budak tahfiz untuk bersembahyang hajat dan bermunajat, tidak banyak bezanya.
Beberapa mall di Malaysia juga ada ciri dan pendekatan sama, antaranya seperti KB Mall, yang pernah suatu masa memanggil ustaz popular untuk berceramah di dalamnya. Sementara di Evo Mall Bangi, yang walaupun tidaklah dipanggil ustaz berceramah, ataupun menjadikan ruang legar sebagai tempat bersembahyang beramai-ramai, iklim sekitarnya yang kuat dengan keislaman, antaranya seperti pejabat Isma yang sangat berdekatan, menjadikan kawasan itu agak sendu dan syahdu.
Selain menggunakan agama untuk melariskan barangan, penunggangan juga berlaku dalam penggunaan sentimen bangsa, dalam kes ini seperti Melayu. Mara Digital diwujudkan oleh Ismail Sabri, yang menjadi menteri ketika itu.
Ia diwujudkan semasa berlakunya perselisihan faham yang akan mengundang amukan suatu masa dulu di Plaza Low Yatt yang terkenal dengan barangan elektronik seperti telefon dan laptop. Jadi kewujudan Mara Digital dikatakan untuk bersaing dengan Low Yatt. Malangnya, Mara Digital turut lengang dan bernasib malang.
Hukum sekular
Ini asas. Hanya ada kerajaan campur tangan, ataupun kerajaan tidak campur tangan atau kurang campur tangan. Orang akan membeli di tempat paling dekat, pada barangan yang berkualiti dan harga yang berpatutan. Kerana itu Rayani Air dan Nurflix gagal, sekadar menyebut beberapa contoh.
Kita boleh membaca doa sebelum makan atau membeli barang, masuk ke dalam mall dengan membaca bismillah, tidak membeli arak atau babi, tetapi sekular adalah hukum bagi ekonomi. Jika barangan berkualiti, dan harga berpatutan, orang pasti akan datang mengerumuni.
Tetapi masalah pada mall dan orang-orang yang berniaga di dalam mall, barangan mereka selalunya sama. Jika seorang berniaga kain, 29 lagi orang lagi pasti berniaga kain juga.
Berbeza dengan kedai-kedai Cina (tidak semuanya), ada pusat servis motosikal, sementara di sebelahnya kedai alat ganti kereta, di sebelahnya kedai mainan, pemborong barang am, kedai kasut, pemborong basikal dan pelbagai lagi.
Maka mereka tidak bertumpu pada satu jenis benda atau barangan sahaja. Mereka boleh menghidupkan sesebuah kawasan. Contoh paling terdekat dalam hal ini boleh dilihat seperti di Chow Kit.
Sementara jika kita perhatikan, orang Cina dalam mall kurang menjual baju/pakaian (ada, tetapi kurang), mereka lebih banyak bertumpu pada perkhidmatan seperti jual telefon, sarung telefon, baiki telefon dan jual komputer. Contoh dalam hal ini seperti di Low Yat.
Dalam erti kata lain, baik Melayu dan Cina ada pengkhususan masing-masing, kekurangan dan kelebihan masing-masing. Tetapi yang hanya bermutu dan dicari bila ia bersifat perkhidmatan.
Bukan sekadar keuntungan
Di Malaysia, bukan sahaja mall yang menggunakan agama nampak ‘sesak’, tetapi mall yang tidak menggunakan agama juga begitu banyak didirikan, tetapi begitu lengang. Untuk menjadikannya rancak, maka sewa harus murah untuk peniaga, dan pelbagai kedai harus disediakan.
Peniaga-peniaga jalanan harus dibawa masuk ke dalam mall, jadi DBKL tidak perlu lagi menyodok kedai atau tempat orang berniaga di jalanan, kerana mereka semuanya sudah ditempatkan di dalam mall.
Dan dalam mall, jangan hanya jual kain sahaja. Jadi ada kedai sayur, kedai buah-buahan, supaya orang ramai dapat makan buah dan sayur. Jadi petani dan pekebun di luar bandar boleh hidup kerana ada permintaan di bandar-bandar.
Maka berlaku suatu ekosistem di situ. Kemudian di dalam setiap mall juga harus ada kedai buku. Supaya dalam mabuk kepayang konsumerisme, masyarakat masih ada aktiviti berkaitan buku. Supaya masyarakat yang tidak senonoh, akan dapat dikurangkan populasinya.
Jika dilihat di Sogo, tiada kedai buku di dalamnya, tetapi sekitar jalan berdekatan Sogo ada beberapa kedai buku, seperti Pustaka Mukmin dan di Wisma Yakin. Kedai baiki telefon, jahit baju, farmasi, kedai beg, kedai kasut, bahkan termasuk bahagian untuk seniman melukis potret atau kaligrafi berkarya, dan mungkin juga ruang untuk busker menyanyi. Barulah sesuatu mall itu hidup.
Kedai makan juga harus pelbagai, supaya bila pelbagai barulah tidak timbul isu sihir bila tidak laku. Di beberapa mall antaranya seperti di Amcorp Mall dan KL Gateway sudah mula mengadakan aktiviti mingguan, iaitu setiap minggu ada acara jualan vintage, buku-buku lama dan terpakai, mainan dan banyak lagi.
Jadi setiap mall pun harus ada acara setiap minggu untuk menarik khalayak datang. Jadi walaupun ia asalnya berbentuk konsumerism, tetapi manusia boleh memanfaatkan konsumerism ini secara sihat untuk aktiviti sosial seperti bersama keluarga dan bermasyarakat.
Berbanding menunggang agama dan bangsa, adalah lebih baik menyediakan mall atau perkhidmatan yang berkualiti. Pasti ia akan dicari mereka yang memerlukan. Berbanding menempel-nempel dengan tempelan Islami, bukankah lebih baik menyediakan barangan dan perkhidmatan yang berkualiti dan bermutu tinggi?
BENZ ALI seorang penulis buku, penyajak jalanan, penerbit buku kecil-kecilan dan penggiat komuniti Kuliah Buku – Kubu.
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.