Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rina: Delegasi PN jumpa PM sudah ditetapkan secara rasmi

Ketua Wanita Bersatu (Serikandi) Rina Harun hari ini tampil menyokong kenyataan ketua penerangan parti itu Wan Saiful Wan Jan semalam yang mengeluh mengenai isu pertemuan delegasi PN dengan perdana menteri baru-baru ini.

Menurut Rina, delegasi yang dimaksudkan berjumpa Ismail Sabri Yaakob itu memang telah diputuskan secara rasmi oleh parti untuk mewakili mandat Bersatu.

“Saya kira sebenarnya perjumpaan kita (PN) dalam parti telah memutuskan perjumpaan itu diwakili oleh mereka yang telahpun disebut sebagai wakil daripada parti macam daripada Bersatu - Hamzah Zainudin dan (Mohamed) Azmin (Ali).

“Jadi, jika itu yang diputuskan dalam parti, jadi saya kira itulah wakil rasmi parti untuk berjumpa dengan perdana menteri untuk bincangkan hal berkaitan PN dan Bersatu," katanya pada sidang media mesyuarat exco Srikandi di ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya, Selangor hari ini.

Bagaimanapun, Rina berkata pertemuan menteri PN yang lain tidak mewakili delegasi rasmi yang telah ditetapkan parti itu.

“Yang lain-lain tu kalau perjumpaan tu mungkin sebab mereka menteri juga. Takkanlah kalau saya (sebagai menteri) berjumpa dengan PM, maka saya dikatakan mewakili parti kepada isu ini, sedangkan mandat diberi kepada mereka yang dinamakan tadi,” katanya ketika sidang media mesyuarat exco Srikandi di ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya, Selangor hari ini.

Semalam, Wan Saiful mendakwa Ismail Sabri 'menipu' berhubung kenyataan dia sudah mengadakan pertemuan bersama pimpimpin PN pada dua minggu lalu.

Sebaliknya, Wan Saiful menyoal mengapa Ismail seakan takut untuk berjumpa dengan pemimpin dalam kerajaan gabungan yang sama.

"Kalau setakat jumpa waktu lunch (makan tengah hari) itu bukan perjumpaan rasmi yang sepatutnya," katanya.

Wan Saiful juga berkata wakil rasmi PN yang dinamakan merupakan Setiausaha Agung Hamzah Zainudin, Penolong Setiausaha Agung PN Takiyuddin Hassan, Bendahari PN Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ketua Penerangan PN Mohamed Azmin Ali.

Pada 13 Ogos, Ismail Sabri berkata dia telah mengadakan pertemuan bersama delegasi PN pada minggu terakhir sesi sidang Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, tidak jelas jika keempat-empat wakil rasmi PN itu hadir dalam pertemuan makan tengah hari berkenaan.

Dalam pada itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa hari ini dilaporkan berkata soal pertemuan itu bukanlah hal yang sulit dan perlu dihebohkan kepada media, apatah lagi tiga daripada empat yang dikatakan wakil Bersatu, Hamzah, Azmin, Takiyuddin dan Samsuri adalah anggota jemaah menteri.

"Mereka setiap minggu berjumpa dan bersama perdana menteri," kata ketua Umno Ketereh itu, lapor Utusan Malaysia.

Ahmad Samsuri pula hari ini dilaporkan berkata PN masih mencari tarikh baru untuk delegasi rasmi empat pemimpinnya bertemu perdana menteri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS