Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM ajak penjawat awam pertahan kerajaan dari 'fitnah'

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan pimpinannya adalah kerajaan bersama yang menekankan konsep Keluarga Malaysia dan penjawat awam wajar mempertahankan ia daripada pelbagai dakwaan dan fitnah kononnya pentadbiran itu gagal.

Pada majlis perjumpaan perdana menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya hari ini, Ismail Sabri berkata penjawat awam wajar mempertahankan kerajaan dengan melihat beliau sebagai ketua kerajaan dan bukannya mempertahankan parti politik.

Pada pertemuan itu, Ismail Sabri berkongsi kejayaan dikecapi kerajaan. Antaranya pencapaian cemerlang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang merekodkan pertumbuhan 8.9 peratus pada suku kedua tahun ini, selain mewujudkan pekerjaan mencecah 400,000 serta prestasi nilai dagangan melepasi RM2 trilion.

"Apabila tuan puan mempertahankan, tuan puan tidak berpolitik. Jangan lihat saya sebagai pemimpin politik tetapi sebagai ketua kerajaan dan tuan puanlah anggota kerajaan.

"Kerajaan ini adalah kerajaan bersama. Sebab itu saya perkenalkan konsep Keluarga Malaysia, sebab saya nak kita bersama anggap kerajaan ini sebagai satu keluarga," katanya.

Perjumpaan itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed dan Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali.

Ismail Sabri berkata beliau mahu penjawat awam bekerja sebagai satu keluarga dan tidak bekerja dengan budaya silo.

"Saya tak nak isu lama bekerja dalam keadaan silo. Kita mesti bekerja bersama, kita punyai tanggungjawab bersama, kita tak boleh bergerak secara silo lagi tetapi mesti bekerja secara keluarga kerana cara silo sebenarnya akan sebabkan kegagalan kepada sesuatu tindakan atau perancangan," katanya.

Bagi membolehkan ekonomi negara bertambah baik, Ismail Sabri mahu penjawat awam mengurangkan kerenah birokrasi terhadap pelabur memandangkan ia sering dibangkitkan kumpulan itu semasa beliau mengadakan lawatan ke luar negara.

"Banyak kementerian terlibat dalam perkara yang sama dan akhirnya menyebabkan kelewatan. Bagi pelabur, peniaga, masa adalah sangat penting.

"Lewat kelulusan akan menyebabkan kerugian pada mereka," katanya kerajaan telah bersetuju mewujudkan unit #MyMudah bagi menangani isu birokrasi.

Unit #MyMudah akan ditubuhkan di semua kementerian dan agensi persekutuan, kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memudahkan urusan perniagaan di seluruh negara.

Mengimbau kejayaan kerajaan merintis kerjasama dengan pembangkang menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik, Ismail Sabri berkata ia bagi membolehkan kerajaan menumpukan kepada perkara besar seperti kestabilan politik dan pemulihan ekonomi negara.

Malah menerusi MoU itu, Rang Undang-undang Antilompat Parti berjaya diluluskan meskipun ia hangat dibahaskan di Parlimen.

"Dari sudut ekonomi kita telah berjaya, Rang Undang-undang Antilompat Parti juga telah lulus 100 peratus oleh Ahli Dewan dan kita akan memperkenalkan Rang Undang-undang Pendanaan Politik," katanya.

Mengenai pengasingan kuasa, Ismail Sabri berkata kerajaan akan memperkenalkan Akta Perkhidmatan Parlimen.

Ismail Sabri mengiktiraf kejayaan kerajaan hari ini tidak akan tercapai tanpa sokongan dan dokongan semua penjawat awam.

"Teruskan kerja baik untuk membantu kerajaan menyelesaikan segala masalah untuk kepentingan rakyat," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS