Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ismail gesa BN balas dakwaan 'kerajaan gagal'
Diterbitkan:  Aug 14, 2022 7:07 PM
Dikemaskini: 11:07 AM

Ismail Sabri Yaakob menggesa BN untuk membalas dakwaan bahawa kerajaan gagal mentadbir negara, susulan anjuran bantahan sempena ulang tahun dia menjadi perdana menteri, yang dijadual berlangsung pada 20 Ogos ini.

Ismail Sabri berkata dakwaan seperti kerajaannya gagal menangani inflasi adalah tidak benar dan "pembangkang" sengaja enggan melihat perkara sebenar.

Protes anjuran sekumpulan aktivis yang menggelarkan diri mereka sebagai jawatankuasa Turun dijadual diadakan pada 20 Ogos ini di sekitar Pusat Beli Belah Sogo, Kuala Lumpur.

Selepas protes yang diadakan pada bulan lalu, penganjur berkata lima tuntutan mereka masih belum ditunaikan, iaitu:

  • Memotong gaji menteri

  • Mengekalkan subsidi

  • Menyalurkan bantuan bermaruah

  • Mengawal harga barang

  • Menyelesaikan isu jaminan bekalan makanan

Bercakap di Konvensyen Wanita BN hari ini, Ismail Sabri mengakui harga barangan naik sebelum ini tetapi menjelaskan inflasi melanda banyak negara, antaranya disebabkan perang Rusia-Ukraine dan impak daripada wabak Covid-19.

Namun, katanya, usaha kerajaan telah membuahkan hasil, dengan menjadikan harga ayam sebagai contoh.

Katanya, sementara harga siling ayam ditetapkan pada RM9.40 sekilogram, harga di pasaran pada masa ini adalah RM7 sekilogram.

"(Malah) bekalan ayam ada lambakan," katanya lagi.

Perlu dinyatakan kerajaan sebelum ini merancang untuk menamatkan harga siling ayam pada 1 Julai namun menarik balik keputusan itu selepas bantahan ramai, dan sebaliknya menetapkan harga siling baru.

Antara langkah bagi meningkatkan bekalan ayam adalah menghentikan eksport ayam. Langkah itu masih berjalan dan antara sebab berlaku lambakan bekalan.

'Tak peduli kejayaan kerajaan'

Sementara itu, Ismail Sabri berkata Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi juga telah menunjukkan kesan, dengan mendakwa harga minyak masak tanpa subsidi juga telah menurun.

"Pembangkang akan terus serang kita. Mereka tak cakap pasal harga barang hari ini walaupun harga sudah turun.

"Mereka tak akan puji kerajaan. Mereka akan terus kata kerajaan gagal," katanya.

Justeru, katanya, anggota BN yang perlu menguar-uarkan kejayaan kerajaan kepada orang ramai.

Terdahulu, dia berkata antara kejayaan kerajaan termasuk mendapatkan pelaburan langsung asing (FDI) berjumlah RM74.1 bilion sejak suku keemapt 2021 hingga suku kedua tahun ini.

Katanya, jumlah itu lebih tinggi berbanding FDI tahunan sejak 2018 hingga 2021.

Pencapaian lain yang disebut Ismail Sabri adalah dengan 400,000 mendapat kerja dan kadar pengangguran menurun daripada 4.3 peratus kepada 3.8 peratus.

Jualan borong dan runcit setakat Jun lalu juga mencecah RM132.8 bilion, yang menurutnya tertinggi sejak 2013, sementara sektor pembuatan mencatatkan pertumbuhan 23.4 peratus dengan nilai RM153.5 bilion untuk separuh pertama tahun ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS