Paling Popular
Terkini

Mahkamah Persekutuan esok akan mendengar rayuan Najib Razak bagi membatalkan sabitan dan hukuman penjara dalam kes rasuah membabitkan RM42 juta dana milik SRC International Sdn Bhd.

Mahkamah Persekutuan menetapkan selama sembilan hari mulai esok untuk mendengar rayuan bekas perdana menteri itu supaya dibebaskan dan mengetepikan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta dalam kes berkenaan.

Mahkamah Persekutuan pada mulanya menetapkan selama 10 hari, namun kemudian menetapkan perbicaraan selama sembilan hari bermula dari 15 hingga 19 Ogos dan 23 hingga 26 Ogos.

Mahkamah Persekutuan juga menetapkan esok untuk mendengar terlebih dahulu permohonan bekas menteri kewangan itu bagi mengemukakan bukti baru untuk membatalkan sabitan dan mendapatkan perbicaraan semula.

Permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baru adalah berasaskan bahawa hakim perbicaraan, Mohd Nazlan Mohd Ghazali mempunyai konflik kepentingan berikutan peranannya sebagai peguam di Maybank sebelum ini.

Dakwaan percanggahan kepentingan itu tertumpu kepada peranan bank itu dalam pembentukan SRC serta pinjaman kepada dana kekayaan negara Malaysia, 1MDB.

SRC dahulunya adalah anak syarikat 1MDB namun kini dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

Walaupun secara rasmi telah menarik balik dakwaan rasuah terhadap Nazlan, bekas perdana menteri itu tetap berpendirian bahawa Nazlan mempunyai konflik kepentingan.

Bekas hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu sebelum ini telah dinaikkan pangkat ke Mahkamah Rayuan.

Rayuan utama SRC

Sekiranya mahkamah persekutuan menolak permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baru, rayuan utama SRC akan diteruskan.

Prosiding Mahkamah Persekutuan juga akan dipantau dengan teliti berikutan isu baru-baru ini sama ada pasukan peguam baru Najib akan terus mewakilinya atau menarik diri sekiranya mahkamah tertinggi itu meneruskan untuk mendengar rayuan utama.

Pada 29 Julai, mahkamah persekutuan menafikan permohonan pasukan peguam bekas perdana menteri itu - daripada Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners - untuk menangguhkan pendengaran rayuan.

Kumpulan peguam baru ini mengambil alih tugas daripada firma guaman Shafee & Co (namun, Shafee & Co masih mewakili Najib dalam kes mahkamah lain yang dikaitkan dengan SRC dan 1MDB).

Bagaimanapun, firma yang baru dipilih itu - yang diasaskan oleh bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim - menafikan mereka akan menarik diri daripada mewakili Najib dalam rayuan itu.

Sebelum ini, pasukan peguam Najib memfailkan petisyen rayuan yang mengandungi 94 alasan.

Ia termasuk bahawa mahkamah tinggi menggunakan logik dan rasional sendiri yang bercanggah dengan bukti yang membebaskan bekas perdana menteri itu daripada satu tuduhan salah guna kuasa, tiga tuduhan pecah amanah (CBT), dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram.

Bulan lalu, Najib gagal dalam usaha mendapatkan kebenaran mahkamah untuk diwakili Peguam Diraja dari United Kingdom (UK) dalam rayuan SRC.

Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Najib bersalah atas tujuh tuduhan jenayah membabitkan penyelewengan RM42 juta dana SRC.

Setelah menjatuhkan hukuman, Nazlan membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu sementara menunggu rayuan.

Pada 8 Dis tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan mahkamah tinggi dan menolak rayuan Najib.

Najib juga pernah menjadi penasihat emeritus SRC dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS