Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib mahu Umno menang di Pekan dengan majoriti lebih besar
Diterbitkan:  Aug 13, 2022 3:18 PM
Dikemaskini: 7:18 AM

Bekas perdana menteri Najib Razak mahu Umno dan BN memenangi Pekan dan keempat-empat kerusi DUN dalam parlimen itu dengan majoriti undi yang jauh lebih besar pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

"Kedudukan kita hari ini kuat di Pekan. Umno BN kuat di Pekan dan matlamat kita tidak semata-mata nak menang. Matlamat kita nak Pekan (dimenangi dengan) majoriti tertinggi di kalangan semua calon kita.

"Kita nak pulih semula walaupun dulu kita menang (pada 2018), majoriti 24,859. Kalau rakan-rakan saya lain dapat 24,000 majoriti, kira dah meloncat. Tapi kita di Pekan 24,000 majoriti itu dianggap menurun daripada PRU sebelum itu, bagi kita ia bukan merupakan pencapaian yang memerangsangkan.

"Tapi kali ini 24,000 itu kita nak tingkatkan jauh lebih tinggi bagi PRU15 ini, insya-Allah," kata ahli parlimen Pekan itu.

Najib, yang pertama kali bertanding dan menang dalam pilihan raya kecil Pekan pada 1978 berikutan kematian bapanya dan bekas perdana menteri Abdul Razak Hussein, mengekalkan kerusi itu dalam lapan pilihan raya lalu.

Pada 2018 di tengah-tengah kemarahan orang ramai terhadap skandal 1MDB, undi majoriti Najib merosot kepada 24,859 berbanding dengan majoriti 35,613 undi pada 2014.

"Fokus mesti diberikan kepada pengundi berumur antara 18 dan 40 tahun, yang terdiri daripada 56.77 peratus daripada 118,835 pengundi.

"Kita juga harus memberi tumpuan kepada pengundi berumur antara 18 dan 20 tahun kerana mereka mempunyai kesedaran dan pengetahuan (politik) yang lebih rendah," kata Najib.

"Ada yang tidak kenal wakil rakyat mereka. Jadi, golongan pengundi ini mengundi personaliti dan kepimpinan. Kedua, mereka juga melihat isu yang timbul," katanya.

Najib berkata sayap Pemuda dan Wanita perlu menganjurkan acara untuk memenuhi keperluan mereka.

Khususnya, Najib mengarahkan sayap Umno untuk menubuhkan pusat panggilan, yang akan berfungsi sepenuh masa sehingga PRU untuk mendekati pengundi muda berusia 18 hingga 29 tahun.

Najib juga menggesa sayap Umno memainkan peranan aktif dalam pengambilan keahlian memandangkan ahli semasa hanya terdiri sehingga 26 peratus daripada jumlah pengundi.

Dalam ucapan selama 30 minit itu, Najib turut menggesa ahli parti mendoakannya atau menunjukkan solidariti dengannya dengan hadir di Mahkamah Persekutuan minggu depan.

Mahkamah Persekutuan akan mendengar rayuan terakhirnya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman terhadap kes rasuah SRC International.

Anak sulung Najib, Mohd Nizar, 44, disebut-sebut sebagai calon yang bakal menggantikannya di kawasan Pekan jika Najib tidak lagi layak untuk diletakkan sebagai calon berikutan keputusan mahkamah.

Nizar telah berkhidmat dengan firma perakaunan antarabangsa Deloitte selama 18 tahun sebelum menyertai kerajaan negeri Pahang sebagai ketua biro ekonomi dan modal insan Majlis Tindakan Sosial Pahang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS