Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ribut di JB terbangkan bumbung flat, 50 keluarga terjejas
Diterbitkan:  Aug 12, 2022 10:22 PM
Dikemaskini: 2:26 PM

“Ketika itu saya cuma mampu menangis dan melaungkan azan selepas melihat bumbung rumah diterbangkan angin kencang.”

Demikian detik cemas diceritakan Rosliza Jaafar, 50, selepas rumahnya di Flat Rosmerah Taman Johor Jaya di Joho9r Bahru, menjadi antara 50 kediaman yang terjejas akibat ribut dan hujan lebat yang berlaku selama dua jam pada kira-kira 1.30 tengah hari tadi.

Tinjauan Bernama mendapati bumbung di enam daripada 10 blok flat empat tingkat itu tercabut dan diterbangkan angin menyebabkan rumah mangsa dimasuki air dan kelengkapan rumah rosak, selain beberapa pokok turut tumbang dan menimpa kenderaan.

Kesemua 50 keluarga yang terjejas akan dipindahkan ke sebuah pusat pemindahan sementara di Dewan Johor Jaya, di Johor Bahru.

Tak pernah berlaku

Menceritakan lanjut, Rosliza berkata ketika kejadian dia sedang mengemas rumah sebelum dikejutkan dengan bunyi kuat dan melihat bumbung rumah jirannya diterbangkan angin.

"Mula-mula bumbung rumah jiran sebelah terbang, selepas itu saya tengok bumbung rumah saya pula terbang. Hujan masuk dalam rumah menyebabkan sampai sekarang masih digenangi air dan kejadian seumpama ini tidak pernah berlaku sejak 22 tahun saya tinggal di sini,” katanya yang bekerja di syarikat makanan segera.

Suri rumah Rohaizah Yahya, 48, pula berkata dia dan keluarganya masih terkejut dan trauma dengan insiden yang berlaku.

"Ketika kejadian, saya berada di dapur dan dengar bunyi angin. Bila dengar bunyi benda jatuh, saya terus dongak dan nampak putih sahaja sebab kabus dan hujan.

“Anak saya yang berada dalam bilik pula terus berlari ke arah saya sebab takut. Semua bilik dimasuki air dan kami terpaksa berlindung di dapur sebab di situ saja yang masih selamat," kata ibu kepada empat anak itu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata beliau akan berbincang dengan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk mendapatkan peruntukan segera bagi membantu mangsa.

"Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) menganggarkan sekurang-kurangnya RM1 juta diperlukan untuk membaiki kerosakan yang bukan sahaja melibatkan bumbung tetapi pendawaian elektrik kerana ada yang rosak.

“Kerja-kerja pembaikan mungkin mengambil masa lama tetapi apa yang penting ketika ini kita mahu bantu mangsa yang terjejas," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS