Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu tidak perlu risau sekiranya Anwar Ibrahim bertanding di Parlimen Tambun pada PRU15 akan datang jika dia telah menjalankan tugas dengan baik sebagai wakil rakyat, kata pemimpin PKR.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Siti Aishah Shaik Ismail berkata biar pengundi Tambun yang menentukan siapa lebih layak untuk berkhidmat kepada rakyat di kawasan itu.
"Walaupun ia masih dalam peringkat cadangan dan penelitian namun reaksi Ahmad Faizal itu dilihat sebagai reaksi yang tergesa-gesa dan memperlihatkan bahawa beliau takut untuk menghadapi Anwar.
"Persoalannya mudah, mengapa Peja (Ahmad Faizal) harus risau sekiranya dia pasti bahawa dia telah menjaga masyarakat di Tambun," soalnya pada satu kenyataan, hari ini.
Kata Siti Aishah, (gambar, atas) PKR sedia bertembung secara terbuka dengan Peja untuk kekal di Parlimen Tambun bagi membuktikan bahawa dia masih relevan jika berhadapan Anwar.
"Dia (Ahmad Faizal) seharusnya lebih bersikap tenang kerana pilihan raya ialah medan terbuka bagi rakyat memilih siapa yang mahu diwakili mereka.
"Menyifatkan Anwar sebagai ahli parlimen nomad pastinya memberikan kelebihan buat Peja di laman sendiri," sindir Siti Aishah yang juga bekas senator itu.
Terdahulu, Ahmad Faizal menyifatkan Anwar mungkin bimbang akan ditolak pengundi di Port Dickson sekiranya bertanding semula di kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Ahli Parlimen Tambun itu berkata Anwar yang juga bekas ahli parlimen Permatang Pauh kini cuba membuat pilihan lebih selamat dengan beralih kerusi dan bertanding di Tambun.
"Mungkin mereka (PKR) berpandangan bahawa Permatang Pauh dan Port Dickson telah membangun dengan amat hebat, tiada lagi masalah rakyat yang perlu dibantu," kata Ahmad Faizal sinis.
"Ataupun, beliau bimbang ditolak di tempat sendiri maka pilihan yang lebih selamat adalah dengan menjadi ahli parlimen nomad (berpindah- randah)," kata ahli parlimen Bersatu itu kepada Malaysiakini.
Sementara itu, Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan, Khairuddin Abu Hassan berkata Anwar Ibrahim memperalatkan pengundi untuk mencapai matlamatnya menjadi perdana menteri semata-mata.
Katanya Anwar tidak ikhlas untuk memberi perkhidmatan terbaik bagi membangunkan kawasan yang diwakilinya.
"Sudah berapa kawasan parlimen Anwar Ibrahim berhijrah setiap kali menghadapi PRU? Berhijrah dari satu kawasan parlimen ke kawasan parlimen lain secara berterusan membuktikan Anwar tidak serius untuk berkhidmat sebagai wakil rakyat.
"Politikus 'oportunis' seperti Anwar harus ditolak oleh keseluruhan para pengundi di negara kita.
"Di Port Dickson ramai daripada para pengundi serta penduduk setempat tidak puas hati dengan mutu perkhidmatan yang diberikan oleh Anwar selama ini," dakwanya pada satu kenyataan.
Katanya, sekiranya Anwar yakin boleh menang semula di kerusi parlimen Port Dickson dia perlu mempertahankan kerusi tersebut.