Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bekas ahli lembaga pelesenan KL mahu jumpa Shahidan
Diterbitkan:  Aug 12, 2022 5:06 PM
Dikemaskini: 9:06 AM

Seorang ahli Lembaga Pelesenan (Eksais) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) yang dipecat kerana didapati muflis kini cuba mendapatkan tarikh untuk menemui Menteri Wilayah Persekutuan, Shahidan Kassim.

Langkah itu diambil, kata S Gobi Krishnan, kerana dia mendakwa alasan pemecatan yang diberikan oleh menteri terbabit adalah kurang tepat.

"Saya berpendapat tindakan itu adalah lanjutan daripada keputusan menteri BN yang berterusan membatalkan pelantikan pemimpin dan ahli parti Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu dalam syarikat berkaitan kerajaan untuk digantikan dengan ahli BN.

"Saya berpendapat menteri juga diberikan nasihat yang salah oleh pihak kementerian serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Untuk itu, saya telah berhubung dengan Shahidan untuk mendapatkan temu janji bagi menjelaskan perkara ini," katanya hari ini.

Tambah Gobi Krishnan sepatutnya Shahidan memanggil dia untuk memberi penjelasan terlebih dulu sebelum bertindak menggugurkannya dari badan berkenaan.

Dia juga menganggap Shahidan "terburu-buru" dalam tindakan tersebut.

"Tapi saya faham itulah perangai menteri BN," katanya.

Gobi Krishnan mengeluarkan kenyataan tersebut ekoran keputusan kerajaan dan DBKL memecatnya daripada lembaga pelesenan berkuat kuasa pada 4 Ogos lalu.

Menurut Shahidan, Kementerian Wilayah Persekutuan telah membuat carian kebankrapan di Jabatan Insolvensi Malaysia, dan keputusan yang diterima mengesahkan status pemimpin Bersatu berkenaan.

Pemimpin Bersatu sahkan

Bagaimanapun, Gobi Krishnan hari ini berkata kes bankrapnya masih dalam perbicaraan mahkamah.

"Saya sebenarnya tidak mahu bercakap soal kononnya bankrap seperti yang dibangkitkan kerana isu ini sedang dibicarakan di mahkamah tinggi.

"Sebarang perbincangan mengenainya boleh dikenakan tindakan menghina mahkamah," katanya.

Untuk rekod, pada 3 Ogos lalu, Timbalan Pengerusi MIC Wilayah Persekutuan D Pala Kumaran menggesa DBKL menjelaskan dakwaan ada individu muflis dilantik menjadi ahli Lembaga Pelesenan (Eksais) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Dia juga mendakwa individu terbabit memegang jawatan ketua bahagian sayap bersekutu Bersatu.

Susulan laporan itu, Ketua Sayap Bersekutu Bersatu Dr Chong Fat Full mengesahkan Gobi Krishnan dipecat daripada jawatannya selaku ketua penerangan dan semua jawatan lain dalam parti berkenaan.

Namun, Gobi Krishnan berkata tindakan Chong itu sebagai tidak mengikut perlembagaan parti.

Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin setakat ini masih tidak memberi sebarang kenyataan berhubung isu berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS